Bersih pantai selepas tarawih - Utusan Malaysia

Bersih pantai selepas tarawih

ANTARA komuniti setempat yang menyertai Program Bersih Pantai Ramadan selepas solat sunat tarawih dengan masing-masing membawa obor api di Pantai Kelulut, Marang, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Ramadan bukan penghalang untuk masyarakat melakukan aktiviti gotong-royong menjaga alam sekitar.

Atas kesedaran itu, Pejabat Daerah Marang merintis program membersihkan pantai selepas solat sunat tarawih.

Program yang julung kali diperkenalkan itu berlangsung di lima lokasi terpilih bermula dari 15 April lalu di Pantai Rhu Renggeh diikuti Pantai Angin Berbisik (23 April) dan Pantai Kelulut (27 April).

Ini bakal disusuli Pantai Pulau Kekabu pada 3 Mei ini dan Pantai Jambu Bongkok (7 Mei).

Menariknya, aktiviti gotong-royong melibatkan antara 40 hingga 50 komuniti setempat itu turut mengimbau nostalgia zaman silam dengan pemasangan lebih 80 jamung atau obor api dan pelita buluh di sepanjang kira-kira 200 meter lokasi pembersihan di kawasan pantai.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, Program Bersih Pantai Ramadan mempunyai keunikan tersendiri dan perlu diteruskan sebagai tarikan pelancongan pada masa akan datang.

“Kita berharap inisiatif Pejabat Daerah Marang ini dapat dicontohi daerah lain agar tahap kebersihan di sepanjang 244 kilometer pantai di Terengganu sentiasa terjaga untuk keselesaan pelancong.

“Program ini secara tidak langsung dapat memupuk kesedaran orang ramai supaya mengutamakan aspek kebersihan kerana Ramadan bukan bulan untuk bermalas-malasan, tidak bekerja atau mengabaikan soal kebersihan diri dan persekitaran,” katanya dalam sidang akhbar di Pantai Kelulut di sini malam tadi.

Yang hadir sama, Pegawai Daerah, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.

Sementara itu Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kelulut, Noraslam Jaafar, 57, berpuas hati dengan penyertaan kira-kira 40 penduduk dari Kampung Kelulut, Kampung Gong Beris dan Kampung Seberang Marang dalam program berkenaan.

Katanya, cahaya jamung menceriakan lagi aktiviti gotong-royong di lokasi berkenaan sekali gus mampu menarik penyertaan golongan muda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya