Presiden perlu segera buat laporan - Ismail Sabri - Utusan Malaysia

Presiden perlu segera buat laporan – Ismail Sabri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi segera membuat laporan polis berhubung rakaman audio perbualan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tular minggu ini.

Tegas Menteri Kanan (Keselamatan) itu, ia perlu segera dilakukan bagi mengelak kesangsian orang ramai khususnya ahli parti di peringkat akar umbi.

Beliau berkata, sejak rakaman terbabit tular di media sosial, pelbagai spekulasi mula timbul lantas menjadi perdebatan dalam kalangan ahli.

“Presiden UMNO (Ahmad Zahid) dah janji akan buat laporan polis melalui pegawai beliau. Ini perlu disegerakan untuk menutup terlalu banyak prasangka yang tidak baik yang akan timbul selepas ini jika beliau tidak membuat laporan polis.

“Saya difahamkan, polis telah membuka kertas siasatan berhubung perkara tersebut berdasarkan laporan yang dibuat oleh pihak-pihak lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Bangkit 15 yang dihadiri pimpinan UMNO bahagian daripada Melaka dan Negeri Sembilan di Hotel Lacrista di sini malam tadi.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menasihatkan Ahmad Zahid dan Anwar agar segera membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Beliau berkata, setakat ini polis belum menerima sebarang laporan daripada kedua-dua mereka.

Mengulas mengenai kertas siasatan yang telah dibuka, Ismail Sabri meminta tindakan segera untuk menentukan kesahihan audio tersebut.

“Ini penting sebab dalam kalangan ahli parti masih lagi keliru berhubung perkara tersebut. Kalau siasatan dapat dipercepatkan dan tahu keputusannya ia akan dapat memadamkan terus kesangsian yang timbul dalam kalangan ahli.

“Sebab sejak tularnya audio tersebut timbul pelbagai spekulasi kerana ada ahli kata suara itu milik kedua-dua mereka malah ada pula kata audio itu adalah tidak benar,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya