PR1MA Residensi Tebrau dapat CCC, tetapi sistem paip belum sempurna - Utusan Malaysia

PR1MA Residensi Tebrau dapat CCC, tetapi sistem paip belum sempurna

SISTEM perpaipan yang masih dalam proses untuk disiapkan menimbulkan tanda tanya pembeli apabila CCC bagi perumahan itu sudah diperolehi terlebih dahulu di Residensi Tebrau di Jalan tebrau, Johor Bahru di Johor. -UTUSAN/MOHAMAD FAIZAL HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Satu demi satu masalah menyelubungi lebih 1,000 pembeli projek perumahan Residensi Tebrau, di sini yang menunggu rumah mereka siap sepenuhnya pada Januari 2020 sehingga kini.

Terbaru, projek di bawah Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) itu memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) sedangkan sistem perpaipannya masih belum siap.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Md. Nasir mempersoalkan bagaimana CCC untuk PR1MA Tebrau dikeluarkan pada 31 Mac lalu sedangkan sepatutnya sijil berkenaan diberikan selepas semuanya selesai.

Beliau berkata, CCC hanya akan dikeluarkan setelah kerja pembinaan siap termasuk penilaian komprehensif terhadap komponen kerja pembinaan seperti asas bangunan disediakan.

“Penilaian tersebut membabitkan kerja-kerja tanah, sistem paip, sistem longkang dan saliran, landskap, lampu jalan dan sistem keselamatan kebakaran. Persoalannya bagaimana CCC boleh dikeluarkan dalam keadaan sistem paip di PR1MA ini belum siap sepenuhnya?.

“Adakah benar kontraktor bertindak memenuhkan tangki air secara manual bagi mendapatkan kelulusan CCC sedangkan paip air sebenarnya belum disambung?,” katanya kepada pemberita selepas melawat PR1MA Tebrau di sini, hari ini.

Perumahan jenis pangsapuri di Jalan Tebrau yang terletak bersebelahan dengan Kampung Dato’ Sulaiman Menteri, di sini mula dibina sejak 2016 yang mempunyai lima blok dengan 1,284 unit rumah setinggi 26 tingkat dan berharga kira-kira RM150,000 sehingga lebih RM300,000.

Mengulas lanjut Akmal Nasrullah berkata, perkara itu hanya akan menyusahkan pembeli apabila penyambungan paip air utama gagal disiapkan sebelum tarikh penyerahan kunci iaitu sebelum 30 April ini.

Akmal juga mempersoalkan sama ada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin tahu perkembangan itu memandangkan beliau telah mengadakan pertemuan dengan wakil pembeli pada 8 April lalu iaitu seminggu selepas CCC dikeluarkan.

“Sebaiknya menteri terbabit tampil memberikan penjelasan mengapa perkara sebegini boleh berlaku, CCC dikeluarkan tanpa bekalan air. Tidak perlulah tunggu sampai kami buat laporan. Jangan berdolak-dalik serta nafikan hak pembeli untuk mendapatkan pampasan atau tuntutan denda lewat penyerahan rumah (LAD),” katanya.

Sementara itu, seorang pembeli, Azizi Majid, 38, mahu projek itu disiapkan mengikut tarikh terbaharu yang telah ditetapkan pada 30 April ini dengan melengkapkan kesemua fasiliti di situ terutamanya membabitkan sistem bekalan air.

“Kami terkejut juga bila tengok dalam laman web PR1MA mengatakan status projek sudah siap 100 peratus walhal sistem perpaipan masih belum siap.

“Apa-apa pun, kami berharap agar isu ini dapat diselesaikan segera oleh PR1MA sebelum menyerahkan kepada pembeli yang sudah sekian lama menunggu kunci rumah masing-masing,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya