PPZ-MAIWP sasar kutipan zakat RM120 juta - Utusan Malaysia

PPZ-MAIWP sasar kutipan zakat RM120 juta

ABDUL Hakim Amir Osman (dua dari kiri) bergambar bersama pengurusan tertinggi PPZ-MAIWP dalam sidang akhbar kempen 'Ramadan Untuk Semua #SyukuriNikmatBersama' di Wisma PPZ, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyasarkan kutipan zakat harta dan fitrah sebanyak RM120 juta sepanjang bulan Ramadan ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, pihaknya menyasarkan peningkatan tiga peratus berbanding Ramadan tahun lalu dengan kutipan sebanyak RM117 juta.

Katanya, Mesyuarat Jawatankuasa Hukum Syarak Wilayah Persekutuan, MAIWP juga menetapkan tiga kadar bayaran zakat fitrah pada tahun ini iaitu RM5, RM7 dan RM14.

“Kadar bayaran zakat yang ditetapkan itu adalah mengikut harga beras yang dimakan.

“Semua umat Islam di Wilayah Persekutuan juga diseru merebut keberkatan Ramadan dengan menunaikan zakat bagi mengembalikan hak asnaf sebanyak 2.5 peratus yang terdapat dalam harta kita,” katanya dalam sidang akhbar kempen ‘Ramadan Untuk Semua #SyukuriNikmatBersama’ di Wisma PPZ, di sini semalam.

Kempen itu bertujuan memberi galakan kepada masyarakat Islam di Malaysia menunaikan zakat di bulan Ramadan.

Abdul Hakim berkata, pihaknya menyediakan lima perkhidmatan dan saluran bayaran bagi memudahkan orang ramai menjelaskan kutipan zakat sepanjang Ramadan.

Katanya, ia meliputi mana-mana kaunter bayaran PPZ, perkhidmatan Kaunter Zakat Digital (KZD), perkhidmatan pintu ke pintu, portal rasmi PPZ-MAIWP dan skim potongan zakat bulanan dengan melayari ptgzakat.com.my.

Selain itu, kata beliau, pihaknya juga menawarkan pelbagai program menarik sepanjang Ramadan nanti.

“Antaranya Ziarah Ramadan sekitar Wilayah Persekutuan, Jom Mengaji melalui laman facebook PPZ-MAIWP dan cenderahati wakaf al-Quran kepada 1,000 pembayar terawal yang menunaikan zakat serendah RM50 di kaunter.

“Orang ramai dijemput mengikut laman Facebook, Instagram dan TikTok rasmi Pusat Pungutan Zakat bagi mengikuti perkembangan terkini dan informasi menarik,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya