SHAH ALAM: Polis Selangor menasihatkan orang ramai supaya mengawal kemarahan dan tidak mengambil tindakan sesuka hati tanpa memikirkan kesan kepada diri sendiri dan masyarakat secara keseluruhannya.
Nasihat itu dikeluarkan susulan kejadian pertengkaran yang berlaku di sebuah restoran makanan segera di Klang, semalam yang tular dalam laman sosial yang mana ia kejadian kedua selepas lima hari insiden memukul dua pengawal keselamatan.
Ketua Polis negeri, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pertengkaran di restoran makanan segera itu berlaku hanya kerana perselisihan faham antara dua pihak yang tidak berpuas hati dengan layanan pekerja tersebut.
Menurut Arjunaidi, semasa pertengkaran, mungkin ada perkataan yang dikeluarkan menyinggung dan sepatutnya tidak dikeluarkan.
“Oleh demikian, kita memanggil saksi dan individu yang terlibat dengan pertengkaran tersebut. Kertas siasatan juga dibawa kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.
“Merujuk kepada kedua-dua kes yang berlaku sejak beberapa hari ini, saya menasihatkan orang ramai bahawa setiap kita memang ada sifat marah, namun perlu belajar untuk mengendalikan kemarahan ini.
“Tidak bererti kita boleh mengambil tindakan sesuka hati tanpa memikirkan kesan kepada diri sendiri dan masyarakat secara keseluruhannya. Marah dengan santun dan akan cipta satu situasi lebih baik. Kita ada undang-undang yang perlu dipatuhi dan kalau tidak berpuas hati guna saluran perundangan sedia ada,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Arjunaidi berkata, sebagai rakyat Malaysia, seharusnya perlu lebih matang dan lebih memahami tentang sentimen dan sensitiviti setiap bangsa serta agama.
“Semua pihak jangan sewenang-wenangnya memberi komen atau perkataan yang boleh menyinggung perasaan orang lain.
“PDRM akan sentiasa bersedia mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang kurang sensitif atau tidak menghormati bangsa dan agama orang lain berdasarkan undang-undang sedia ada,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE