Polis Sabah nafi peserta protes dipukul - Utusan Malaysia

Polis Sabah nafi peserta protes dipukul

HAZANI GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Polis Sabah menafikan sekeras-kerasnya seorang tahanan yang terlibat dalam perhimpunan protes semalam dipukul ketika berada dalam tahanan polis.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, terdapat laporan berita portal yang menyatakan seorang tahanan yang terlibat dalam protes di Kampung Muhibbah Raya iaitu Mukmin Nantang,27, dipukul dibahu dan dada oleh polis semasa proses tangkapan dibuat.

“Dakwaan ini dipandang serius oleh pihak atasan PDRM kontinjen Sabah dan saya telah mengarahkan siasatan segera dijalankan atas dakwaan ini.

“Berdasarkan siasatan yang dijalankan, pihak polis menafikan sebarang kekerasan dilakukan oleh pegawai kanan atau anggota polis terhadap mana-mana Orang Kena Tahan (OKT) semasa proses tangkapan dijalankan ke atas kesemua tangkapan ini termasuk individu tersebut.

“Proses tangkapan yang dilakukan oleh polis adalah mematuhi serta selaras dengan peruntukan Seksyen 15 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya dalam satu kenyataan, dekat sini hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai atau pihak tertentu supaya mendapatkan fakta yang lebih tepat sebelum membuat sebarang dakwaan yang tidak betul.

Kesemua tujuh individu yang terlibat dalam protes di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Muhibbah Raya, Tawau itu ditahan reman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Hazani berkata, Mukmin yang dikenalpasti sebagai penganjur juga didapati gagal mengemukakan notis pemberitahuan kepada Ketua Polis Daerah untuk mengadakan perhimpunan.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 25 Ordinan Darurat 2021 (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021, Seksyen 188 Kanun Keseksaan atas kesalahan mengingkari perintah yang diisytiharkan oleh penjawat awam dan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya