KOTA KINABALU: Polis Sabah akan menggempur kawasan setinggan yang menjadi penempatan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, isu setinggan yang dihuni oleh PATI ini sudah berlarutan selama berpuluh tahun maka, operasi besar-besaran bagi merobohkan kawasan setinggan ini akan dilakukan.
“Namun, kita tunggu lekuk Covid-19 landai dan semua orang mengambil vaksin barulah kita akan melancarkan operasi besar-besaran bagi merobohkan kawasan setinggan di seluruh Sabah.
“Saya sudah mengarahkan semua ketua-ketua polis daerah untuk mengenal pasti kawasan setinggan di daerah masing-masing termasuk tanah milik kerajaan yang dijadikan penempatan setinggan.
“Operasi ini sama seperti yang dilakukan semasa zaman pentadbiran bekas Ketua Menteri Tan Sri Chong Kah Kiat pada 2001 iaitu kita melakukan operasi tangkapan dan merobohkan rumah setinggan.
“Tetapi, kita merobohkan mengikut undang-undang yang ada termasuk mendapatkan notis mahkamah,” katanya selepas majlis pemakaian pangkat dan serah/terima tugas polis kontinjen Sabah, dekat sini hari ini.
Penempatan setinggan turut menyumbang kepada kes kecurian elektrik dan air di Sabah yang mengakibatkan kerajaan mengalami kerugian hasil sehingga hampir RM100 juta setahun.
Atas sebab itu, polis akan menguatkuasakan akta pencegahan jenayah 1959 (POCA) bagi menangani kegiatan mencuri elektrik dan air. Mana-mana individu yang ditangkap akan terus disiasat mengikut POCA, tiada lagi siasatan mengikut Seksyen 431/379 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Hazani berkata, pertukaran tujuh pegawai kanan dan pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah itu tidak akan menjejaskan kekuatan polis Sabah.
Pertukaran ketua-ketua polis daerah itu hanya melibatkan pertukaran dalaman di Sabah dan hanya dua pegawai bertukar ke kontinjen Selangor dan Sarawak. Pertukaran dalaman sebegitu adalah satu pemilihan yang tepat oleh pucuk pimpinan PDRM.
“Kita juga mengalu-alukan pegawai yang kembali bertugas di Sabah kerana kita memang memerlukan pegawai yang pernah berkhidmat di negeri ini memandangkan dia ada pengetahuan tentang susun galur dan selok belok geografi di Sabah,” katanya.
Susulan pertukaran itu, tujuh pegawai yang menggalas tugas baharu adalah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Asisten Komisioner Lam Thiam Huat; Timbalan Ketua JSJN Pemangku Superitendan Yong Hock Lim; ACP Pentadbiran Asisten Komisioner Habibi Majinji; Ketua Polis Daerah (KPD) Kota Kinabalu Pemangku Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah; KPD Labuan Superitendan Ahmad Jawila; KPD Semporna Superitendan Mohd Farhan Lee Abdullah dan KPD Kunak Superitendan Sabarudin Rahmat. – UTUSAN ONLINE