SUNGAI SIPUT: Polis merakam keterangan 13 individu bagi membantu siasatan kes tular kononnya pasukan keselamatan menahan perarakan pengebumian mayat dengan kenderaan di Jalan Lintang dekat sini, 25 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, keterangan yang diambil itu turut membabitkan dua anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang bertugas menjaga kawalan lalu lintas pada hari kejadian.
Katanya, seorang saksi bergelar Datuk Seri yang juga telah dipanggil akan hadir memberi keterangan dalam masa terdekat.
“Kita telah selesai merakam keterangan 13 saksi manakala seorang saksi bergelar Datuk Seri akan hadir dalam masa terdekat untuk bantu siasatan.
“Sebaik siasatan selesai, kita akan rujuk kertas siasatan tersebut kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika ditemui selepas Program Kayuhan Basikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-214 di Dataran Victoria di sini hari ini.
Menurut Mohd. Khaizam, siasatan kes tersebut dijalankan mengikut Seksyen 188 iaitu mengingkari perintah yang diisytiharkan oleh pejawat awam.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan, kawalan lalu lintas pada hari kejadian oleh dua anggota Rela itu dilakukan sendiri tanpa arahan dari pejabat Rela daerah.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak bertindak sendiri kerana tiada mana-mana pihak dibenarkan menjaga lalu lintas kecuali mereka yang diberi kebenaran oleh undang-undang,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, beberapa gambar dan video berdurasi 2 minit 19 saat tular dalam media sosial yang memaparkan provokasi dilakukan beberapa individu termasuk seorang bekas timbalan menteri kerana berang perarakan kenderaan membawa mayat ditahan polis. – UTUSAN ONLINE