Polis pantau pematuhan bazar di Melaka - Utusan Malaysia

Polis pantau pematuhan bazar di Melaka

SULAIMAN Md. Ali (dua dari kiri) bersama isteri, Datin Seri Munira M. Yusop (kiri) melawat kanak-kanak pada program Santuni Kasih Permata Hati sempena sambutan ulang tahun ke-18 Bandaraya Melaka Bersejarah di Hospital Melaka. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Khidmat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan digunakan bagi memantau tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pengunjung di 70 bazar Ramadan yang beroperasi di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, arahan itu berkuat kuasa serta-merta bagi mengelak insiden sama di bazar Ramadan Taman Rambai Jaya di sini berulang.

Beliau berkata, perbincangan telah dilakukan bersama Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali untuk mencari mekanisme terbaik berhubung perkara itu.

“Buat masa ini polis sedang menyusun dan secepat mungkin kita akan letakkan anggota polis di bazar Ramadan setiap daerah dalam negeri ini.

“Setakat ini, selepas memantau bazar Ramadan sekitar Alor Gajah, saya berpuas hati dengan SOP yang ditetapkan penganjur dan peniaga.

“Namun dari segi pematuhan pengunjung masih lagi menimbulkan sedikit masalah apabila ada yang berebut-rebut ketika hendak membeli juadah,” katanya ketika ditemui selepas Program Santuni Kasih Permata Hati di Hospital Melaka di sini hari ini.

Yang turut hadir Datuk Bandar Majlis Perbandaran Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Abu; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Selasa lalu, tular dalam media sosial keadaan bazar Ramadan Taman Rambai Jaya dipenuhi pengunjung tanpa pematuhan SOP sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit.

Seramai lima peniaga di bazar berkenaan telah diberikan notis oleh Kementerian Kesihatan kerana kesalahan tidak mengawal penjarakan fizikal membabitkan pengunjung.

Semalam Sulaiman memaklumkan, kerajaan negeri sedang mempertimbangkan untuk membatalkan penganjuran bazar Ramadan selepas terdapat pihak penganjur yang gagal memastikan pematuhan SOP ditetapkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya