Polis Melaka perintis Satu Taman Satu Polis - Utusan Malaysia

Polis Melaka perintis Satu Taman Satu Polis

STSP tersebut merupakan idea yang diusulkan oleh Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali yang telah dipersetujui oleh pucuk kepemimpinan tertinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Polis Melaka menjadi kontinjen perintis melaksanakan inisiatif Satu Taman Satu Polis (STSP) untuk meningkatkan kelestarian tahap keselamatan masyarakat.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, STSP tersebut merupakan idea yang diusulkan oleh Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali yang telah dipersetujui oleh pucuk kepemimpinan tertinggi.

Sehubungan itu, katanya, negara ini kini menjadi perintis inisiatif STSP dan satu kajian impak pelaksanaan khususnya kepada masyarakat.

“Program STSP ini menggariskan tiga objektif utama iaitu menghalang atau mengurangkan peluang jenayah berlaku dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap jenayah di sekeliling melibatkan komuniti untuk membentuk strategi pencegahan.

“Selain itu, untuk meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap keselamatan persekitaran mereka dengan kehadiran dan panduan akan dilaksanakan oleh Pegawai Perhubungan Taman (PTT) terdiri daripada pegawai polis yang tinggal di kawasan kejiranan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas perasmian Program STSP di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelaksanaan itu bukanlah untuk mengukur penurunan indeks jenayah di kawasan perumahan, tetapi, bagi mendapatkan kepercayaan masyarakat terhadap kesungguhan polis dalam memastikan penduduk berasa selamat di penempatan masing-masing.

“Penduduk boleh membuat apa sahaja aduan dan tidak ada satu pun laporan dianggap remeh. Semua aduan akan diambil kira untuk dianalisa bagi tindakan susulan.

“Kita mahu masyarakat percaya pada pihak polis dan dapat tidur lena pada waktu malam,” jelasnya.

Sementara itu, Abdul Majid berkata, untuk peringkat awal pelaksanaan, inisiatif itu melibatkan sebanyak tujuh buah kawasan perumahan iaitu tiga dalam daerah Melaka Tengah manakala masing-masing dua di Alor Gajah serta Jasin.

Di Melaka Tengah, kawasan terlibat adalah Taman Cempaka, Taman Merdeka Jaya dan Taman Bukit Katil Damai 2 manakala di Alor Gajah pula di Taman Samarinda dan Taman Bandar Baru Masjid Tanah.

Di Jasin, ia melibatkan Taman Selatan Jasin dan Taman Seri Sempang Merlimau.

“Bagi fasa pertama ini, STSP ini dijalankan di tujuh kawasan taman dan fasa kedua akan dilaksanakan dalam masa terdekat melibatkan 20 buah taman.

“Sekiranya usaha ini membuahkan hasil yang baik, kita akan mengemukan kertas cadangan kepada pucuk kepimpinan tertinggi untuk memperluaskan pelaksanaannya,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN