KOTA BHARU: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan mengutip bayaran saman sebanyak RM1.39 juta menerusi diskaun 50 peratus yang ditawarkan pihaknya dalam tempoh 11 hari, baru-baru ini.
Tawaran diskaun tersebut bermula pada 25 Mac lalu sempena Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-214 Peringkat Kontinjen Kelantan dan berakhir semalam (8 April).
Ketua JSPT negeri, Superintenden Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, kutipan saman bagi pelbagai kesalahan trafik itu dibuat di semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negeri ini.
Berdasarkan laporan akhir, katanya, IPD Kota Bharu mencatat kutipan tertinggi iaitu RM52,870 diikuti IPD Pasir Puteh (RM27,710), IPD Gua Musang (RM22,940) dan IPD Machang (RM21,230).
“IPD Pasir Mas mengutip sebanyak RM18,560 diikuti IPD Kuala Krai RM13,530 dan IPD Tanah Merah RM12,580.
“IPD Tumpat pula mengutip RM10,580 diikuti IPD Bachok RM7,810 dan IPD Jeli RM6,680,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Terdahulu, ketika mengumumkan tawaran tersebut, Ketua Polis negeri, Datuk Shafien Mamat berkata, diskaun 50 peratus tidak sah kepada pesalah trafik berstatus kes bicara di mahkamah, kesalahan potong barisan serta saman kemalangan tahun ini dan tahun lalu.
Diskaun itu juga tidak boleh digunakan kepada individu yang berstatus waran tangkap, saman melibatkan lori serta saman berkaitan kesalahan ubah suai ekzos yang dikeluarkan mulai 1 Mac lalu. -UTUSAN ONLINE