Polis bantu keluarga lelaki curi beras, susu - Utusan Malaysia

Polis bantu keluarga lelaki curi beras, susu

WAN Nasrul Fariq Wan Ismail (kanan) ketika berkunjung ke rumah keluarga suspek untuk memberikan bantuan barangan asas di Taman Kuso, Kota Tinggi, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Polis Balai Kota Tinggi mengambil inisiatif mengunjungi keluarga seorang lelaki yang ditangkap kerana mencuri beras dan susu di sebuah kedai makan, kelmarin.

Kunjungan melibatkan Ketua Polis Balai Kota Tinggi, Inspektor Wan Nasrul Fariq Wan Ismail itu bagi melihat sendiri keadaan keluarga berkenaan yang bergantung pendapatan harian RM30 daripada isteri suspek.

Wan Nasrul berkata, kehadiran mereka juga mendapati anak-anak kecil pasangan itu turut memerlukan makanan asas bagi meneruskan kehidupan normal.

“Keluarga ini agak susah dengan hanya bergantung pendapatan isteri RM30 sehari. Itu pun kalau ada kerja baru ada gaji.

“Memandangkan ada anak-anak kecil yang mungkin memerlukan makanan asas jadi kita mengambil inisiatif hadir membantu meringankan sedikit beban keluarga ini melalui sumbangan barangan keperluan asas,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sabtu lalu, polis menahan lelaki berusia 38 tahun yang mencuri sekampit beras dan susu selepas 11 jam melakukan jenayah itu.

Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif heroin dan mempunyai enam rekod jenayah masing-masing tiga rekod kes dadah dan jenayah.

Rakaman gambar suspek yang menaiki motosikal selepas mencuri turut tular dalam laman Facebook.

Sementara itu, Wan Nasrul Fariq berkata, faktor desakan hidup dilalui bukanlah alasan untuk melakukan sebarang perlakuan jenayah.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar berfikir dahulu sebelum membuat apa-apa tindakan terutama dalam kes jenayah yang tidak membawa apa-apa manfaat.

“Suspek mempunyai tiga anak yang masih kecil. Anak sulungnya bersekolah di Tahun 3. Ketika kita datang isterinya hanya menangis sebak.

“Kita harap orang ramai agar jangan ambil jalan mudah walau apa pun masalah yang kita hadapi. Setiap tindakan yang kita ambil akan ada kesannya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya