PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan terhadap peniaga yang secara terang-terangan menjual barangan berbahaya itu di bazar selain secara atas talian.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim menegaskan, tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang didapati menjual mercun dan bunga api secara terbuka sepanjang bulan Ramadan ini.
Katanya, mereka yang didapati membuat kesalahan itu akan diambil tindakan di bawah Akta Letupan 1957 dan Akta Kesalahan Kecil 1955.
“Mereka yang didapati menjual mercun dan bunga api akan kita ambil tindakan.
“Polis Kuala Lumpur juga akan meningkatkan pemantauan ke atas individu ini,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Akhbar semalam melaporkan peniaga mengaut keuntungan melebihi 200 peratus akibat permintaan tinggi terhadap mercun dan bunga api.
Malah, mereka turut menjual barangan tersebut secara terbuka tepi jalan selain melalui atas talian.
Difahamkan walaupun operasi penguatkuasaan dilakukan namun peniaga nekad menjualnya. – UTUSAN ONLINE