PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merakamkan ucapan takziah kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo, kerajaan dan rakyat republik itu susulan tragedi yang menimpa kapal selam KRI Nanggala 402 pada 22 April lalu.
Beliau yang mewakili rakyat Malaysia turut berdukacita atas tragedi yang mengejutkan dan amat menyayat hati ini.
“Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan dan kesabaran kepada ahli keluarga 53 anak kapal KRI Nanggala 402 dalam menempuh dugaan ini.
“Malaysia sentiasa bersedia untuk terus menghulurkan bantuan wajar yang diperlukan kepada Republik Indonesia dalam menghadapi waktu genting ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tentera Nasional Indonesia (TNI) mengesahkan kapal selam KRI Nanggala-402 yang hilang di perairan utara Bali, telah tenggelam.
Panglima TNI, Hadi Tjahjanto berkata, tanda isyarat tenggelam bagi KRI Nanggala 402 diisytiharkan selepas operasi pencarian dilakukan selama 72 jam.
KRI Nanggala-402 dilaporkan hilang di perairan utara Bali sejak Rabu lalu.
Kapal selam buatan Jerman itu membawa 53 anak kapal dilaporkan terputus hubungan selepas melakukan latihan torpedo. -UTUSAN ONLINE