TANAH MERAH: Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) memberi jaminan Plaza Indonesia Malaysia Thailand Golden Triangle (IMT-GT) Bukit Bunga, di sini tidak menjadi sebuah projek ‘gajah putih’.
Pengurus Besar Kesedar, Iskandar Zurkarnain Ibrahim berkata, antara strategi pihaknya adalah menjadikan plaza tersebut sebagai zon bebas cukai ketiga di negeri ini selepas Rantau Panjang di Pasir Mas dan Pengkalan Kubor di Tumpat.
Setakat ini, katanya, Kesedar dengan kerjasama kerajaan negeri sedang berusaha ke arah itu termasuk mengemukakan permohonan kepada kerajaan Pusat.
“Sejak penularan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu, kawasan itu ditutup seketika sebelum dibuka semula pada Jun 2020.
“Selepas PKP, bilangan pengunjung berkurangan kepada 100 orang sehari, namun kita yakin pengunjungbertambah apabila pandemik pulih dan plaza ini dapat dijadikan zon bebas cukai,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Iskandar Zurkarnain memberitahu, bagi meringankan beban mereka yang terkesan dengan Covid-19, para peniaga di situ dikecualikan bayaran sewa bulanan antara RM150 hingga RM300 bermula April hingga September lalu.
“Plaza IMT-GT Bukit Bunga adalah pusat sehenti khusus untuk usahawan tempatan memasarkan produk masing-masing kepada pelancong domestik dan antarabangsa,” katanya.
Berkonsepkan rehat dan rawat (R&R), Plaza IMT-GT Bukit Bunga siap dibina pada Oktober 2019 oleh Kesedar di atas kawasan seluas 1.22 hektar dengan kos keseluruhan mencecah RM14.7 juta.
Plaza itu diuruskan Kesedar Holdings Sdn. Bhd. (Kesedar Holdings) dan merangkumi dua komponen utama iaitu premis komersial dan lot-lot pejabat serta sebuah pasar basah.
Antara perniagaan di situ ialah pakaian, cenderamata, barangan runcit, serunding dan medan selera yang beroperasi pukul 9 pagi hingga 6 petang setiap hari. – UTUSAN ONLINE