TANAH MERAH: Ketika mula beroperasi pada November 2019, Plaza Indonesia Malaysia Thailand Golden Triangle (IMT-GT) Bukit Bunga, di sini dikatakan mendapat sambutan luar biasa pengunjung.
Kedudukan strategik bersebelahan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (ICQS) Bukit Bunga menjadikan plaza itu destinasi pilihan bagi aktiviti komersial serta perdagangan rentas sempadan.
Biarpun masih baharu, dianggarkan sekitar 300 hingga 500 pengunjung bertandang ke plaza tersebut setiap hari dengan kira-kira 30 peniaga di situ dilaporkan meraih pendapatan antara RM5,000 hingga RM7,000 sebulan.
Bagaimanapun, pusat beli-belah sehenti itu didakwa mampu ‘hidup’ kira-kira lima bulan sahaja sebelum bertukar menjadi ‘nyawa-nyawa ikan’ mulai Mac tahun lalu apabila pintu sempadan negara ditutup ekoran penularan Covid-19.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, rata-rata peniaga di Plaza IMT-GT Bukit Bunga menyifatkan penutupan sempadan negara dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai tamparan hebat buat mereka.
Peniaga serunding, Roslan Abdul. Rahman, 61, berkata, di peringkat awal perniagaan iaitu sekitar empat hingga lima bulan pertama, hasil jualan serundingnya secara purata mampu mencecah RM200 sehari.
“Apabila PKP dikuatkuasakan, kami terpaksa berhenti berniaga selama beberapa bulan dan hilang punca pendapatan sepanjang tempoh tersebut.
“Walaupun sudah dibenarkan beroperasi seperti biasa, pendapatan saya tidak lagi seperti dulu kerana pintu sempadan negara belum dibuka. Hendak kutip RM50 sehari pun sukar,” katanya baru-baru ini.
Peniaga pakaian, Khairul Ihwan Kalik, 22, pula berharap pandemik Covid-19 segera reda bagi membolehkan pintu sempadan Kelantan-Thailand dibuka semula dan kegiatan rentas sempadan kembali dibenarkan seperti biasa.
“Saya memilih berniaga di sini kerana yakin Plaza IMT-GT Bukit Bunga mampu menjadi syurga beli-belah baharu di Kelantan sebagaimana Zon Bebas Cukai Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor.
“Selepas tamat PKP, pelancongan domestik agak meriah ketika itu sehingga pendapatan saya naik RM800 sebulan namun merosot kembali hingga sekadar RM200 hingga RM300 sebulan selepas kebenaran rentas negeri ditarik balik,” keluhnya.
Pengunjung, Zaiton Awang, 36, pula berkata, selain terletak di lokasi strategik, Plaza IMT-GT Bukit Bunga adalah destinasi beli-belah yang luas serta lengkap dengan kemudahan serba moden.
“Setiap kali waktu rehat saya datang makan di sini. Sayanglah kalau plaza ini tidak laku sebab tempatnya cantik dan selesa,” katanya yang bekerja di pusat kecantikan di Kampung Batu 8. – UTUSAN ONLINE