PKPD di Penjara Sri Aman dan Kg. Serpan Laut, Sarawak - Utusan Malaysia

PKPD di Penjara Sri Aman dan Kg. Serpan Laut, Sarawak

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dua lokaliti di Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara serentak selama dua minggu bermula esok sehingga 21 April ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, salah satunya ialah Penjara Sri Aman dan kuarters kakitangannya di Lot 493, Jalan Brayun, Bandar Sri Aman.

“Sehingga kini, sebanyak 482 ujian saringan telah dilakukan dan daripada jumlah itu, 289 kes positif wabak Covid-19 sudah pun direkodkan,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Angka tersebut jelas beliau, melibatkan seramai 279 orang tahanan, lapan petugas penjara itu selain dua individu lagi dalam kalangan ahli keluarga kakitangan institusi berkenaan sendiri.

Kementerian Kesihatan ujarnya, mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti ini dalam tempoh tujuh hari lalu dengan kadar kebolehjangkitan juga adalah tinggi.

Katanya, prosedur operasi standard (SOP) di lokaliti itu sama seperti penjara lain yang pernah dikenakan PKPD dengan tiada pergerakan keluar masuk dan sesi lawatan oleh ahli keluarga banduan.

Ismail Sabri memaklumkan, PKPD turut dikenakan di Kampung Serpan Laut, Asajaya, Bahagian Samarahan, Sarawak dengan mengesan lima kes positif melalui 62 ujian saringan.

Dalam pada itu, PKPD di Kampung Batu Gong, Daerah Siburan, Bahagian Serian, Sarawak yang dijadualkan tamat pada 9 April ini dilanjutkan lagi 14 hari kepada 23 April depan susulan Kementerian Kesihatan mengesahkan masih berlaku penularan dan kes baharu wabak itu yang dikesan dalam kalangan komuniti di perkampungan berkenaan.

Malah sepanjang hampir dua minggu PKPD dilaksanakan, sebanyak 485 ujian saringan dilakukan dan daripada jumlah tersebut, 95 kes positif Covid-19 sudah direkodkan.

Bagaimanapun ujar Ismail Sabri, PKPD di sebuah lagi perkampungan di daerah berkenaan, iaitu di Kampung Chupak akan ditamatkan pada 9 April ini seperti dijadualkan selain penamatan PKPD di Kampung Siasai Tamu dan Kampung Lebak Moyoh, Daerah Kota Belud, Bahagian Pantai Barat, Sabah, berakhir esok.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN