PKP: Semua sekolah, institusi di 7 daerah Kelantan ditutup seminggu - Utusan Malaysia

PKP: Semua sekolah, institusi di 7 daerah Kelantan ditutup seminggu

SEORANG bapa, Salahuddin Ramli menghantar dua anaknya di SK Pangkal Meleret, Tanah Merah seperti biasa pagi ini kerana tidak mendapat maklumat berkaitan penutupan sekolah di kawasan yang dikenakan PKP di Kelantan. - UTUSAN/BAHRUDDIN HATTA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Semua sekolah dan institusi di bawah Kementerian Pendidikan di tujuh daerah di negeri ini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditutup selama seminggu bermula hari ini sehingga 24 April depan.

Difahamkan Pengarah Pendidikan negeri, Zulkernai Fauzi mengumumkan keputusan tersebut pada pukul 11 malam tadi, namun surat rasmi penutupan hanya mula diterima pihak pentadbiran sekolah-sekolah terbabit pada pukul 5 pagi ini.

Pengumuman itu dibuat kurang 24 jam selepas Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr. Mah Hang Soon mengesahkan Kementerian Pendidikan tidak bercadang untuk menutup sekolah di kawasan yang dikenakan PKP di Kelantan, petang semalam.

Dalam surat itu Zulkernai memberitahu, arahan penutupan sekolah di tujuh daerah tersebut susulan daripada cadangan yang dikemukakan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Khas Negeri Kelantan yang bermesyuarat semalam.

“Cadangan itu dipertimbang dan dengan mengambil kira situasi semasa, Kementerian Pendidikan membuat ketetapan semua sekolah dalam jajahan PKP diarah tutup bagi tempoh tujuh hari mulai 18 hingga 24 April 2021.

“Semua murid yang tinggal di asrama perlu kekal berada di asrama,” katanya.

Sementara itu, seorang guru besar di sebuah sekolah ketika dihubungi Utusan Malaysia enggan mengulas lanjut namun mengesahkan telah menerima salinan surat arahan penutupan tersebut kira-kira pukul 5.30 pagi ini.

Tujuh daerah di Kelantan kecuali Gua Musang, Jeli dan Kuala Krai dikenakan PKP bermula Jumaat lalu hingga 29 April depan, ekoran kes positif Covid-19 yang melonjak tinggi di negeri ini sepanjang minggu ini.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Kementerian Kesihatan semalam, Kelantan merekodkan 225 kes positif Covid-19 iaitu keempat tertinggi selepas Selangor dengan 751 kes, Sarawak (512 kes) dan Kuala Lumpur (252 kes).

Setakat hari ini, tiga lokasi di negeri ini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu Sekolah Tahfiz Bunut Sarang Burung, Tumpat; Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas dan Sekolah Menengah Sains (SMS) Machang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya