MERSING: Penduduk daerah ini diminta supaya bertenang dan tidak panik susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang diumumkan kerajaan semalam hanya melibatkan dua mukim sahaja.
Pegawai Daerah Mersing, Mohd. Radzi Mohd. Amin berkata, hanya Mukim Endau serta Mukim Triang sahaja yang terlibat dan bukannya keseluruhan daerah seperti yang ditularkan.
“Terdapat salah faham berkenaan isu tersebut sehinggakan ada pihak yang beranggapan keseluruhan daerah Mersing terlibat dengan PKP yang bermula hari ini hingga 3 Mei depan.
“Seperti apa yang telah dimaklumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, PKP terpaksa dilaksanakan di kedua-dua mukim ini kerana penularan kes Covid-19 membabitkan Kluster Kampung Air Batang di kedua-dua lokaliti terbabit.
“Saya minta penduduk daerah ini supaya bertenang dan jangan panik dan teruskan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Selepas diumumkan semalam, tular beberapa mesej palsu dalam kalangan penduduk daerah itu kononnya keseluruhan Mersing dikenakan PKP sehingga menimbulkan keadaan panik.
Mohd. Radzi berkata, beliau meminta kerjasama penduduk daerah itu untuk terus membantu dalam mengembalikan status daerah Mersing sebagai daerah hijau seperti sebelum ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Cyril Edrward Nuing ketika dihubungi berkata, polis akan menambah jumlah anggota dan pegawai di Mukim Endau dan Mukim Triang bagi memantau pelaksanaan PKP.
“Jumlah pegawai dan anggota akan ditambah mengikut keperluan semasa agar kita dapat melakukan pemantauan yang berkesan sepanjang PKP ini terutamanya dari segi pematuhan SOP,” katanya.
Dalam pada itu, seorang penduduk di Kampung Air Tawar Endau, Muhammad Syahrul Nizam, 29, berkata, pelaksanaan PKP itu disokong agar penularan wabak di dua mukim berkenaan dapat dibendung.
“Sekurang-kurangnya dengan keputusan kerajaan ini dapat mengurangkan pergerakan penduduk sekali gus menghentikan penularan Covid-19.
“Saya berharap keadaan ini segera berakhir dan kami dapat menyambut Syawal bukan dalam keadaan situasi PKP,” katanya.- UTUSAN ONLINE