PKP Kelantan: Perlu mohon surat rentas daerah baharu - Utusan Malaysia

PKP Kelantan: Perlu mohon surat rentas daerah baharu

SHAFIEN MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Polis Kelantan tidak akan melayan pengguna jalan raya yang menunjukkan surat kebenaran rentas daerah yang lama di sekatan jalan raya (SJR) bermula hari ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, ini kerana, tujuh daripada 10 jajahan di Kelantan sudah dikenakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini hingga 29 April depan.

Katanya, sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar memohon surat baharu bagi tujuan merentas daerah kerana ada segelintir pengguna jalan raya yang menggunakan surat yang lama iaitu ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kita tidak mahu pengguna jalan raya mengambil kesempatan dengan mengguna surat yang lama ketika mereka merentas daerah.

“Bagaimanapun, kita benarkan individu yang bergerak di atas jalan raya atas urusan perniagaan kerana ia menjana ekonomi negeri. Tetapi, kompaun tetap akan dikeluarkan kepada mereka yang masih berdegil dan tiada surat untuk merentas daerah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Bersahur Bersama Barisan Hadapan di sekatan jalan raya (SJR) di Jambatan Sultan Yahya Petra di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Shafien berkata, polis akan memperketatkan kawalan di 17 SJR termasuk empat yang sedia ada bagi mengelak orang ramai cuba memalsukan dokumen ketika melakukan pergerakan rentas negeri dan daerah dalam tempoh PKP.
.
Katanya, beliau berharap orang ramai tidak lagi merungut keadaan laluan menjadi sesak berikutan ramai yang membuat pergerakan rentas negeri apabila tiba musim cuti.

“Peningkatan kenderaan masuk ke Kelantan juga dilihat bertambah hampir 15 peratus lebih-lebih lagi sebelum menyambut Ramadan baru-baru ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN