PKP di 7 daerah Kelantan - Utusan Malaysia

PKP di 7 daerah Kelantan

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tujuh jajahan atau daerah di Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 16 April hingga 29 April depan berikutan peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak di dua negeri itu.

Tujuh jajahan/daerah itu melibatkan Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok, Machang, Tumpat dan Tanah Merah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan mengesahkan berlaku peningkatan kes sebanyak 30.5 peratus di negeri Kelantan dalam tempoh 14 hari iaitu daripada 756 kes kepada 1,088 kes dan kesemua tujuh jajahan/daerah itu berada di dalam Zon Merah.

Selain itu katanya, terdapat juga sembilan kluster baharu dilaporkan dalam tempoh 14 hari dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan serta selepas perbincangan dengan Kerajaan Negeri Kelantan dan Sarawak, kerajaan bersetuju melaksanakan perintah itu.

“Pelaksanaan PKP ini untuk memastikan pergerakan penduduk di lokaliti tersebut dapat dikawal bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 ke kawasan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ismail Sabri, prosedur operasi standard (SOP) di kawasan PKP adalah seperti berikut:

∙ Sekatan jalan raya akan diadakan di semua sempadan daerah dan sempadan negeri.
∙ Semua sektor ekonomi dan perniagaan yang diluluskan kementerian atau agensi yang berkaitan boleh beroperasi dalam tempoh PKP.
∙ Pelaksanaan PKP daerah-daerah ini akan mengikut SOP Am PKP yang dikemas kini pada 26 Februari lalu.
∙ Aktiviti sosial (termasuk aktiviti keagamaan) tidak dibenarkan kecuali kecemasan.
∙ Pemerkasaan komuniti untuk memastikan pematuhan SOP dengan mengaktifkan Agen Banteras Covid-19 (ABC19): Memperkukuhkan District Risk Reduction Program (DRRP) sekolah, universiti dan institusi latihan komuniti – rumah panjang, tempat kerja.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, cadangan menangani peningkatan kes melibatkan rumah panjang di Sarawak, peranan ketua rumah panjang dan penghuninya perlu diperkasakan untuk memastikan saringan gejala termasuk demam dijalankan di pintu masuk rumah panjang setiap hari.

Katanya, mereka yang bergejala atau demam dirujuk ke fasiliti kesihatan berhampiran selain memastikan tiada aktiviti sosial dijalankan di rumah panjang atau tuai/ruang terbuka.

“Memastikan SOP dipatuhi termasuk pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal pada setiap masa apabila keluar rumah, tidak membenarkan tetamu menziarahi rumah panjang,” katanya.

Sementara itu Ismail Sabri berkata, PKP Diperketatkan (PKPD) dikenakan di Kampung Tanjung Batu Keramat, Kota Belud, Sabah selepas 17 kes positif direkodkan hasil daripada 25 ujian saringan ke atas penduduk lokaliti tersebut berkuat kuasa esok hingga 28 April ini.

Selain itu katanya, PKPD di Ladang Leepang, Ladang Laukin, Kampung Inoi di Muadzam Shah, Rompin, Pahang turut dikenakan selepas situasi kes Covid-19 di tiga lokaliti itu meningkat dengan 25 kes dikesan positif hasil 39 ujian saringan.

Sementara itu PKPD di Kampung Juara, Pulau Tioman, Rompin, Pahang ditamatkan lebih awal bermula esok berbanding dijadualkan pada 20 April ini selepas 54 kes positif Covid-19 direkodkan melalui 470 ujian saringan.

“Kementerian Kesihatan mengesahkan semua sampel sudah diambil, kontak dikenal pasti dan diasingkan manakala kes terakhir dilaporkan ialah pada 3 April lalu iaitu sebanyak lapan kes,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya