PKP Daerah Sandakan, PKPD di 2 institusi di Kelantan, Sarawak - Utusan Malaysia

PKP Daerah Sandakan, PKPD di 2 institusi di Kelantan, Sarawak

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas Nabawan, Keningau, Tawau dan Lahad Datu, kini Sandakan menjadi daerah terbaharu di Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 17 April ini ekoran kadar kebolehjangkitan tinggi dan peningkatan kes harian.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga hari ini, sebanyak 46 kes baharu direkodkan dan secara kumulatifnya, sebanyak 6,806 kes sudah pun dilaporkan di daerah itu.

Beliau berkata, sejumlah 78 kes positif Covid-19 telah direkodkan hanya dalam tempoh 14 hari lalu dan situasi itu memerlukan pelaksanaan PKP bagi memastikan kadar infeksi terkawal dan tidak berlaku penularan dengan pantas ke kawasan lain pula dalam Daerah Sandakan atau pun daerah berlainan.

“PKP Diperketatkan (PKPD) dikenakan di Sekolah Menengah Ugama (Arab) Tarbiah Diniah Tahfiz Bunut Sarang Burung, Kelantan mulai esok hingga 29 April ini apabila 50 kes positif direkodkan melalui 113 ujian saringan,” tegas beliau dalam kenyataan hari ini.

Turut dikenakan PKPD pada tarikh yang sama juga ujarnya, ialah Pusat Latihan Polis (Pulapol) dan kuarters kakitangannya di Kuching, Sarawak ekoran 123 kes baharu dilaporkan.

Dalam pada itu beliau berkata, PKPD di Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka dan Daerah Tawau, Sabah yang sepatutnya ditamatkan esok, telah dilanjutkan selama 14 hari lagi sehingga 30 April ini.

Bagaimanapun Ismail Sabri berkata, PKPD di empat lokaliti di Sarawak dan satu di Sabah ditamatkan antaranya di Kampung Baji, Sarikei dan Sungai Rassau, Batang Igan, Daerah Matu di Sarawak serta Kawasan Perumahan Kilang Sungai Tenegang, Kinabatangan di Sabah.

Ia berakhir esok seperti dijadualkan, manakala PKPD di Kampung Binyu Lama, Bahagian Kuching dan Kampung Binyu Baru, Bahagian Samarahan, Sarawak ditamatkan hari ini. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN