KUANTAN: Terkesan dengan pandemik Covid-19 ditambah pula dengan kenaikan harga sewa tapak jualan dan bahan mentah menyebabkan ada kalangan peniaga membuat keputusan tidak berniaga di tapak bazar Ramadan, tahun ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beberapa peniaga menyifatkan keputusan itu terpaksa diambil kerana enggan menanggung risiko kerugian selain dibimbangi jualan kurang mendapat sambutan.
Seorang peniaga, Suzana Mokhtar, 43, mengambil keputusan terus berniaga di gerainya di Kempadang, dekat sini berbanding di bazar Ramadan sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.
Dia yang berniaga air balang dan kuih serta mengambil tempahan berbuka puasa mengakui, bimbang dengan situasi semasa Covid-19 dan berharap pelanggan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan ketika urusan jual beli.
“Selain bimbang dengan wabak ini, saya juga mengambil keputusan berniaga di kedai sendiri kerana tidak mampu membayar sewa tapak selepas penganjur menaikkan kadar sewa hampir sekali ganda berbanding sebelum PKP.
“Harga bahan mentah juga naik mendadak, secara tidak langsung akan berlaku kenaikan harga makanan yang dijual menyebabkan kuasa membeli juga berkurangan,” katanya di sini semalam.
Seorang lagi peniaga, Norzuwita Mohamad Taib, 42, pula berkata, dia mengambil keputusan berniaga dengan menyewa di gerai rakannya dan membuat perkhidmatan penghantaran.
Dia yang menjual pelbagai jenis popia turut terkesan dengan kenaikan harga bahan mentah tetapi terpaksa juga berniaga kerana pendapatan tidak menentu ketika Ramadan.
“Saya pun hairan, tiap kali puasa, bahan mentah mesti naik harga walaupun sedikit berbanding hari-hari biasa. Diharap kerajaan membuat pemantauan lebih terperinci berkaitan perkara ini,” katanya yang berniaga di bazar Ramadan bermula 2011.
Bagi peniaga rempah ayam madu, Nurul Safiah Jaafar, 32, kenaikan harga sewa tapak menyebabkan dia mengambil inisiatif menyediakan tapak jualan persendirian yang turut disertai beberapa peniaga kecil-kecilan.
“Tahun ini saya tidak berniaga di tapak bazar kerana mahu membantu rakan peniaga lain yang tidak mampu membayar sewa agak tinggi,” katanya. – UTUSAN ONLINE