JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) Johor menganjurkan sesi ‘flash mob’ tamat darurat di beberapa daerah dalam negeri ini sebagai mendesak kerajaan untuk mengadakan sesi sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) segera.
Pengarah Program, Onn Jaafar berkata, program anjuran Parti Amanah Negara (Amanah) Johor itu turut melibatkan rakan komponen PH, iaitu PKR dan DAP.
“Rakyat perlu tahu, persidangan Parlimen dan DUN adalah tempat di mana suara rakyat boleh dibawa dan ini penting untuk kesinambungan perjuangan membawa isu rakyat.
“Kita akan meneruskan lagi desakan bagi mendapatkan suara orang ramai dalam menjayakan tuntutan terhadap kerajaan agar menamatkan darurat ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
‘Flash mob’ yang dilakukan pada 29 Mac lalu itu melibatkan beberapa kawasan antaranya Johor Bahru, Kota Tinggi, Pulai dan Simpang Renggam.-UTUSAN ONLINE