Pesta makan colek di Kelantan 'sendu' - Utusan Malaysia

Pesta makan colek di Kelantan ‘sendu’

RAMLY Muhammad menunjukkan colek ketam yang dijual di Zila Pohon Ceri di Jalan Dato Lundang di sini, semalam. – UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Setiap kali bulan Ramadan, suasana di negeri ini khususnya selepas solat tarawih meriah dengan orang ramai berkumpul menikmati hidangan colek (makanan bergoreng dicicah sos) yang merupakan menu cukup popular di Kelantan.

Boleh dikatakan setiap kedai makan di negeri ini menyediakan hidangan ‘wajib’ ketika moreh itu yang secara tidak langsung membantu para peniaga menjana pendapatan tambahan.

Bagaimanapun, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini bermula 16 April lalu menyebabkan pesta makan colek yang dijangka meriah sebelum itu bertukar ‘sendu’.

Antara lokasi popular makan colek yang terjejas teruk ialah di sekitar Jalan Dato Lundang dan Kampung Cherang, di sini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang peniaga Ramly Muhammad, 39, mengakui jualan colek di kedainya Zila Pohon Ceri di Jalan Dato Lundang turun mendadak sehingga 80 peratus ekoran PKP dikuatkuasakan.

Malah katanya, dia juga terpaksa memulangkan semula wang tempahan awal pelanggan bernilai RM5,000 kerana terpaksa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Perniagaan colek saya ketika ini bergantung sepenuhnya kepada bungkus sahaja. Selain itu semua premis perniagaan hanya dibenarkan beroperasi sehingga pukul 10 malam sahaja sepanjang PKP ini.

“Situasi ini menyebabkan perniagaan saya menjadi perlahan,” katanya yang sudah 20 tahun berniaga colek.

Ramly memberitahu, dia kini buntu memikirkan nasib perniagaannya itu selepas mengeluarkan modal RM18,000 untuk beroperasi sepanjang Ramadan ini.

Sementara itu, seorang lagi peniaga Nordin Awang, 59, merayu kerajaan supaya memberi kelonggaran melanjutkan tempoh perniagaan sehingga pukul 12 tengah malam.

Kata pemilik Warong Nasi Ulam di Kampung Cherang itu, perniagaannya merosot 50 peratus kesan pelaksanaan PKP.

“Biasanya saya jual colek bermula pukul 8 malam. Untuk PKP kali ini, saya terpaksa jual colek pada pukul 2 petang untuk elak kerugian,” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya