PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan memperuntukkan sejumlah RM16.88 juta bagi perolehan peralatan perubatan di dua hospital di Sarawak susulan peningkatan kes positif Covid-19 di negeri itu.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, sebanyak RM7.7 juta diperuntukkan kepada Hospital Umum Sarawak bagi perolehan tambahan peralatan perubatan termasuk 22 ventilator, 16 monitor pesakit, lima ultrasound dan 14 respirator pembersih udara berkuasa (PAPR).
Beliau berkata, bagi Hospital Sibu, sejumlah RM9.18 juta diperuntukkan bagi pembelian alatan untuk tambahan 13 katil Unit Rawatan Rapi (ICU) meliputi alatan seperti 13 ventilator, 13 monitor pesakit, lima high nasal flow cannula, 73 syringe pumps, 21 infusion pumps, dua non-invasive ventilator, dua kelengkapan hemodialisis (CVVH) dan dua mesin ultra bunyi.
“Selain itu Hospital Sibu turut menerima lima unit ventilator yang disumbangkan oleh kerajaan Arab Saudi,” katanya pada sidang akhbar mengenai perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu kesiapsiagaan dihadapi Hospital Umum Sarawak dan Hospital Sibu yang dibangkitkan susulan peningkatan kes positif Covid-19 di Sarawak akhir-akhir ini.
Katanya, ketika ini keperluan sumber lain seperti bekalan oksigen dan peralatan perlindungan diri (PPE) adalah mencukupi dan sentiasa dipantau dari semasa ke semasa.
Adham berkata, buat masa ini, terdapat lapan buah hospital yang bersedia merawat pesakit Covid-19 di Sarawak dengan jumlah keseluruhan katil sebanyak 914 dan kadar penggunaan ketika ini adalah 68 peratus.
Menurutnya, terdapat 38 Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) dan tiga PKRC Tahanan yang sedang beroperasi secara aktif dengan kapasiti katil sebanyak 6,523 dan kadar penggunaan pula adalah sekitar 56 peratus.
“Oleh itu, jumlah katil rawatan Covid-19 di hospital dan PKRC Sarawak adalah sebanyak 7,347 dengan kadar penggunaan mencecah 58 peratus.
“Kapasiti katil ICU hospital Covid-19 di Sarawak pula adalah sebanyak 155 bagi pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 80 katil ICU telah dikhususkan untuk merawat pesakit Covid-19 dengan kadar penggunaan melebihi 70 peratus,” katanya.
Pada masa sama Adham berkata, kementerian juga menggerakkan anggota kesihatan secara dalaman dan dari luar Sarawak bagi menampung keperluan sedia ada.
“Bagi mobilisasi dalaman, ia melibatkan seramai 143 anggota kesihatan meliputi perkhidmatan pelbagai gred termasuk pakar perubatan, pegawai perubatan, jururawat dan penolong pegawai perubatan.
“Kita juga menghantar seramai 377 anggota kesihatan dari Semenanjung dan Sabah melibatkan 108 pegawai perubatan, 150 jururawat, 42 penolong pegawai perubatan, empat pegawai sains mikrobiologi, 24 juruteknologi makmal perubatan, 29 penolong pegawai kesihatan persekitaran dan 20 pembantu kesihatan awam,” katanya.