KUALA TERENGGANU: Aktiviti masa lapang seorang suri rumah menghasilkan kuih tart nanas untuk sajian keluarga dan jiran tetangga memberi limpahan rezeki buatnya apabila menerima 600 tempahan balang pada Hari Raya Aidilfitri kali ini.
Tengku Lijah Tengku Chik, 54, berkata, jumlah itu melonjak enam kali ganda berbanding kira-kira 100 balang yang ditempah dalam tempoh sama, tahun lalu.
Katanya, tempahan terbesar sebanyak 500 balang adalah daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar bagi diagihkan kepada penduduk setempat sebagai cenderahati Syawal.
Menurutnya, baki 100 balang lagi ditempah dalam kalangan pelanggan tetapnya sejak memulakan penjualan kuih tart nanas itu bermula pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.
“Atas galakan jiran-jiran, saya mula berniaga dari rumah secara kecil-kecilan sekadar mengisi masa lapang selepas berhenti kerja dan tidak sangka Aidilfitri kali ini dimurahkan rezeki dengan 600 tempahan balang.
“Resipi ini dipelajari daripada kawan sekerja lebih 20 tahun lepas tetapi diubahsuai dengan citarasa sendiri dengan menggunakan bahan-bahan premium seperti mentega dan minyak sapi untuk menambahkan lagi kesedapan dan kelembutannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Dahlia di sini hari ini.
Menurut Tengku Lijah, selain menggunakan bahan premium, keistimewaan tart nanas hasil air tangannya itu adalah kerana saiznya yang besar dan tiada istilah kedekut inti sekali gus memberi lebih kepuasan kepada pelanggan.
Katanya, kerja-kerja membuat kuih dilakukan secara berseorangan bermula dari pukul 9 pagi dan berakhir sebelum waktu solat asar, kecuali hujung minggu, dengan kini berjaya menyiapkan sebanyak 420 balang.
Tengku Lijah berkata, setiap balang dijual pada harga RM20 untuk 22 biji di samping turut membuat tart Cadbury jika ada permintaan.
“Kesemua kuih dihasilkan segar setiap hari dan tidak dibuat stok di rumah, jadi, sebab itu saya menutup tempahan sehingga 600 balang sahaja kerana bimbang tidak menang tangan di samping terpaksa menolak tempahan baru,” katanya.
Mereka yang ingin menempah kuih tart nanas dan cadbury Tengku Lijah boleh menghubungi talian 012-9899015.-UTUSAN ONLINE