JOHOR BAHRU: Polis sudah mendapat kelulusan untuk menyenaraikan nama ahli perniagaan dalam buruan, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee yang disyaki mendalangi sebuah kumpulan jenayah terancang di negara ini dalam senarai individu dikehendaki dan dikenakan notis merah oleh Polis Antarabangsa (Interpol).
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, turut dikenakan notis merah oleh Interpol ialah isteri kepada Nicky Liow, Niu Zhe yang merupakan seorang warganegara China yang dikeluarkan semalam.
“Kita sudah mendapat notis merah bagi kedua-dua mereka. Notis merah bagi Datuk Seri Nicky diluluskan pada kelmarin manakala notis bagi isterinya diperoleh semalam,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Terdahulu, pihaknya telah mendapatkan waran baru daripada pihak Mahkamah Petaling Jaya, minggu lalu bagi meletakkan Nicky Liow dalam senarai dikehendaki.
Kata beliau, permohonan itu dibuat susulan sebelum ini pihak polis pernah mengemukakan notis biru kepada Interpol bagi mengesan lokasi kedudukan beliau sekiranya suspek berada di luar negara.
“Insya-Allah, kita akan hantar permohonan notis merah itu secara rasmi kepada Interpol dalam dua atau tiga hari ini.
“Notis merah ini dibuat bagi membuat hebahan kepada Interpol sekiranya kita kesan suspek berada di luar, kita mahu dia ditangkap,” katanya.
Dalam pada itu, Ayob Khan turut mengesahkan tangkapan yang dibuat ke atas seorang pegawai kanan berpangkat Asisten Superintenden Polis (ASP) berhubung kumpulan jenayah terancang diketuai Nicky Liow, semalam.
Pegawai berusia 40 tahun dan memegang jawatan sebagai ketua bahagian di salah satu jabatan di sebuah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di Kuala Lumpur itu ditahan kira-kira pukul 11.30 pagi semalam oleh sepasukan pegawai dan anggota dari IPK Johor.
Bagaimanapun, Ayob Khan memberitahu bahawa dia hanya dapat mengesahkan tangkapan dibuat dan tidak boleh mendedahkan maklumat lanjut mengenai perkara tersebut.
“Saya hanya dapat sahkan tangkapan yang dibuat tapi tak akan mengeluarkan kenyataan kerana operasi masih berjalan.
“Sebarang kenyataan mengenai operasi dan siasatan tersebut, IPK Johor akan keluarkan. Kita tak nak keluarkan kenyataan sedikit demi sedikit kerana khuatir akan menjejaskan operasi yang sedang berjalan.
“Ini kerana akan ada lagi tangkapan susulan dibuat selepas ini. Apa yang pasti operasi berterusan masih dijalankan,” katanya.
Menurut laporan Utusan Malaysia hari ini, sumber memberitahu suspek dibawa ke IPK Johor untuk siasatan lanjut.
Kata sumber itu, pegawai kanan berkenaan yang melaporkan diri bertugas di IPD tersebut pada Januari lalu ditahan di bawah Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas (SOSMA) 2012.
Pada 15 April lalu, Utusan Malaysia mendedahkan Deputi Superintenden Polis (DSP) dan ASP antara kira-kira 34 nama anggota dan pegawai polis yang dikenal pasti menjadi tali barut kumpulan jenayah terancang Geng Nicky. – UTUSAN ONLINE