Perkongsian interaktif, ilmiah sepanjang Ramadan - Utusan Malaysia

Perkongsian interaktif, ilmiah sepanjang Ramadan

BONDA Nor (berdiri, dua dari kiri) bersama Ustazah Asma' Harun (berdiri, tengah) pada majlis pelancaran Program Semarak Ramadan @ Anjung Bonda Nor dan pelancaran buku trilogi ibu tunggal bertajuk Suami Oh Suami, Semusim Tanpa Dia dan Setelah Engkau Pergi di Senawang, Seremban. - UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Inspirasi penulis buku dakwah santai terkenal, Bonda Nor mengajak umat Islam menjalankan ibadah secara berilmiah dan santai sepanjang Ramadan diterjemahkan menerusi penganjuran Program Semarak Ramadan @ Anjung Bonda Nor.

Bonda Nor atau nama sebenarnya Norli Madlan, 44, berkata, bertemakan ‘Sebulan Menyemai Cinta, Sekeluarga Menuai Syurga’, program yang bermula 1 Ramadan hingga 1 Syawal itu diharap dapat menyuntik motivasi dalam jiwa masyarakat.

“Pengisian program adalah menyeluruh dan tujuannya untuk membantu kita semua menyusun perkongsian Ramadan dengan lebih sistematik untuk seisi keluarga.

“Kami bawakan gabungan penulis dan penceramah di Akademi Bonda Nor dan para murabbi hebat untuk kuliah dan tausiyah seperti Ustaz Muhadir Joll, Datuk Dr. Ustazah Norhafizah Musa serta Ustazah Asma’ Harun,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Semarak Ramadan @ Anjung Bonda Nor di Galeri Ustazah Asma’ Harun di Senawang di sini hari ini.

Menurut Bonda Nor, antara slot menarik yang ada sepanjang sebulan program tersebut termasuk Mari Mengaji, Kuliah Dhuha, Rezeki Ramadan, Tadarus al-Quran, Studio Sihat, Sembang Moreh, Bed Time Story dan Bengkel Penulisan.

“Semua slot ini boleh ditonton seawal pukul 5 pagi dan akan berakhir pada pukul 10 malam setiap hari dan dijalankan secara interaktif melalui platform Facebook Live ‘Group Semarak Ramadan’.

“Saya sendiri juga akan membantu peserta mengenali dunia penulisan dakwah menerusi slot Bengkel Penulisan Bonda Nor yang akan diadakan setiap Sabtu sepanjang Ramadan ini,” katanya yang memberitahu hampir 1,000 peserta telah mendaftar dengan yuran RM150 untuk satu keluarga.

Pada majlis tersebut, beliau turut melancarkan buku trilogi ibu tunggal bertajuk Suami Oh Suami, Semusim Tanpa Dia dan Setelah Engkau Pergi hasil karya dan cerita sebenar tiga penulis yang merupakan ibu tunggal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya