ALOR SETAR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membuat pembayaran faedah berjumlah lebih RM19 bilion kepada golongan pencarum dan ahli keluarga mereka yang layak menerimanya dalam tempoh lima tahun lalu.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, jumlah itu membuktikan Perkeso memainkan peranan penting dalam membela kebajikan golongan pekerja dan pencarum di negara ini.
Katanya, jumlah pembayaran faedah tersebut pada tahun 2016 dicatatkan sebanyak RM3.3 bilion, 2017 (RM3.6 bilion) dan 2018 berjumlah RM3.8 bilion.
“Memasuki 2019, jumlah itu meningkat kepada RM4.2 bilion dan diikuti RM4.25 bilion pada tahun lalu.
“Itu satu jumlah yang sangat besar namun perbelanjaan ini tetap dibuat bagi memastikan kebajikan pencarum dan ahli keluarga mereka terbela,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Jelajah Prihatin 50 Tahun Perkeso Peringkat Negeri Kedah di Wisma Perkeso di sini, hari ini.
Awang menambah, penularan Covid-19 yang membawa kesan drastik terhadap sektor-sektor tertentu menjadi antara faktor pertambahan pembayaran faedah yang banyak dalam tempoh dua tahun lalu. – UTUSAN ONLINE