Percaya dakwaan palsu Covid-19, kehadiran pelajar ke sekolah merosot - Utusan Malaysia

Percaya dakwaan palsu Covid-19, kehadiran pelajar ke sekolah merosot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Jabatan Pendidikan negeri membuat laporan polis berhubung dakwaan yang tular dalam media sosial sejak semalam mengenai terdapat sembilan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Nangka, Arau positif Covid-19.

Pengarah Pendidikan negeri, Naharudeen Othman berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu telah menyebabkan kegusaran dalam kalangan ibu bapa sehingga mengakibatkan jumlah kehadiran pelajar ke sekolah itu, kawasan sekitarnya, malah, di seluruh negeri ini merosot.

Katanya, kehadiran pelajar di SMK Guar Nangka semalam hanya 30 peratus berbanding kebiasaan mencecah 90 peratus.

“Sebenarnya, hanya seorang sahaja pelajar yang positif Covid-19 manakala ada beberapa lagi pelajar termasuk guru yang mempunyai kontak rapat dengan pelajar itu dalam proses kuarantin.

“Ada ibu bapa dari beberapa buah sekolah yang menghantar surat kepada kami untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah kerana risau.

“Oleh itu, kami mengambil tindakan untuk membuat laporan polis mengenai perkara ini supaya ibu bapa tahu sekolah itu selamat dan pihak sekolah sentiasa mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Jabatan Pendidikan negeri di sini hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut, Rashid Hussain dalam status Facebooknya turut menafikan dakwaan itu dan menjelaskan hanya seorang sahaja pelajar yang positif dan kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

“Tolong faham dan tanya dulu pihak sekolah, jangan hanya tahu hendak hentam saja dalam Facebook. Saya berharap kepada semua warga Perlis usah lah pandai lebih. kita cuma kuarantin satu kelas sahaja seramai 37 murid dan bukan sembilan kes positif seperti didakwa,”ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN