Perbicaraan bekas exco ditangguh, tiga saksi dikuarantin Covid-19 - Utusan Malaysia

Perbicaraan bekas exco ditangguh, tiga saksi dikuarantin Covid-19

PAUL Yong Choo Kiong (kanan) keluar dari Mahkamah Tinggi Ipoh selepas perbicaraan kes rogol pembantu rumah warga Indonesia hari ini. - UTUSAN/ASLIZA MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perbicaraan kes rogol membabitkan bekas exco kerajaan negeri, Paul Yong Choo Kiong ditangguhkan pada Jun dan Julai depan selepas mahkamah dimaklumkan tiga saksi pendakwaan menjalani kuarantin kerana disahkan positif Covid-19.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menangguhkan perbicaraan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Jamil Aripin memaklumkan perkara tersebut sejurus saksi pendakwaan kesembilan selesai memberi keterangan.

Menurut Jamil, perbicaraan tidak dapat diteruskan kerana ketiga-tiga individu itu adalah pihak yang bertanggungjawab ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang juga merupakan bukti utama pendakwaan.

“Pihak pendakwaan memohon agar kes ini ditangguh ke tarikh lain mengambil kira keadaan ketiga-tiga saksi ketika ini yang dikuarantin.

“Ketiga-tiga saksi ini bertanggungjawab ke atas rakaman CCTV yang merupakan antara bukti utama pihak pendakwaan dan tanpa mereka, kami tidak boleh memanggil saksi-saksi lain untuk menunjukkan rakaman tersebut,” katanya dalam prosiding perbicaraan hari keempat di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Datuk Rajpal Singh yang mengetuai pasukan pembelaan mewakili Choo Kiong menyatakan pihaknya tiada bantahan terhadap permohonan pihak pendakwaan.

Berikutan itu, Hakim Abdul Wahab menangguhkan perbicaraan kepada tarikh baharu iaitu pada 23 hingga 25 Jun 2021 dan 12 hingga 16 Julai 2021.

Dalam pada itu, pihak pembelaan juga memaklumkan akan memberi jawapan balas kepada mahkamah berhubung permohonan pihak pendakwaan untuk keterangan dua saksi mereka didengar secara tertutup mengikut Akta Perlindungan Saksi 2009.

Jawapan itu akan dihantar ke Mahkamah pada 24 Mei ini sebelum Hakim Abdul Wahab membuat keputusan berhubung permohonan tersebut pada 28 Mei depan.

Perbicaraan hari keempat hari ini memanggil dua saksi pendakwaan iaitu Pegawai Penyiasat Kanan dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Asisten Superintenden Razak Sulaiman, 52, dan setiausaha agensi pembantu rumah, Thong Wan Cheng, 54.

Pada 23 Ogos 2019, Choo Kiong yang juga bekas Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri didakwa merogol seorang wanita di dalam sebuah bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan antara pukul 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai 2019.

Pertuduhan terhadap beliau dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya