Perbezaan budaya, kepercayaan faktor jurang pengambilan anak angkat - Utusan Malaysia

Perbezaan budaya, kepercayaan faktor jurang pengambilan anak angkat

KERATAN akhbar Utusan Malaysia semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Senario pengambilan anak angkat mungkin tidak sama atau tidak wujud dalam budaya kaum lain ditambah isu-isu berkaitan hak dan status menjadikan ia agak kabur sekali gus lebih mencabar.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Salina Sen berkata, dari sudut psikologi, budaya setiap kaum di Malaysia adalah berbeza.

“Dalam budaya orang Melayu, mempunyai anak adalah satu tindakan yang terpuji dan baik apatah lagi jika anak yang diambil itu adalah anak yatim atau golongan dianggap susah dan memerlukan bantuan.

“Malah tindakan ini dianggap satu konsep rezeki yang telah dijamin dalam setiap anak-anak,” katanya ketika dihubungi semalam.

Namun, katanya, penderaan juga boleh dan banyak berlaku apabila tiada persediaan dan penyesuaian serta keserasian di antara anak dan ibu bapa angkat.

“Ini boleh mencetuskan tekanan dan merisikokan kanak-kanak menjadi mangsa penderaan, malah adalah sebaiknya pasangan yang hendak mengambil anak angkat berjumpa dengan kaunselor atau agensi berkaitan dan menjalani proses orientasi tentang proses dan tanggungjawab terlebih dahulu,” katanya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, antara paling ramai yang memohon pengambilan anak angkat dalam tempoh dua tahun sejak 2019 adalah pasangan Melayu iaitu sebanyak 5,728 diikuti 1,390 (penduduk di Sarawak), 885 (India), dan 718 (Cina) serta lain-lain kaum 2,561.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Ruslin Jusoh memberitahu, bukti semakin ramai mengambil anak angkat apabila dalam tempoh dua tahun ini sebanyak 11,385 anak angkat didaftarkan di jabatan itu.

Tambah Salina, bagaimanapun, kajian lanjut masih perlu dilakukan bagi mengenalpasti hal ini dengan lebih mendalam, mengapa wujud perbezaan di antara kaum.

“Secara amnya, proses pengambilan anak angkat adalah sama bagi semua orang, namun mungkin nilai diri dan agama yang berbeza mempengaruhi kecenderungan pengambilan anak angkat,” katanya.

Dalam pada itu, Pakar Psikologi SEGI Universiti, Datin Dr. Mariani Md. Nor turut menyatakan, berdasarkan data pemerhatian dan bualan tentang pengambilan anak angkat, ada segelintir pasangan keluarga kaum bukan Melayu lebih berpegang kepada ‘tuah’ anak dan bimbang tentang asal usul anak yang tidak begitu dapat diketahui dengan komprehensif.

“Berbeza dengan kaum Melayu di mana pengambilan anak angkat adalah berdasarkan beberapa faktor antaranya status perkahwinan.

“Tambahan pula pemikiran masyarakat luar yang sering memperlekeh pasangan sudah berkahwin dan tidak mempunyai cahaya mata dengan menggelar pasangan ‘mandul,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tambah Mariani, bagi kaum bukan Islam, tidak mempunyai cahaya mata bukanlah sesuatu yang membebankan fikiran mereka kerana masih percaya bahawa mereka tetap mempunyai saudara mara terdekat yang boleh menjaga mereka di usia emas.

“Ia juga berdasarkan budaya dan kepercayaan, yang imana semua kaum mempunyai kepercayaan sendiri tentang pengambilan anak angkat malah ada yang mengatakan jika tidak begitu memerlukan anak yang ramai mengapa perlu mengambil anak angkat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN