Perak batal bazar Ramadan jika aduan tidak patuh SOP meningkat - Utusan Malaysia

Perak batal bazar Ramadan jika aduan tidak patuh SOP meningkat

NOLEE Ashilin Mohammed Radzi (kanan) meninjau perpustakaan komuniti ketika merasmikan Perpustakaan Komuniti PPR Pangsapuri Seri Kepayang di Ipoh. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Operasi bazar Ramadan di negeri ini mungkin dibatalkan jika berlaku peningkatan aduan ketidakpatuhan orang ramai terhadap prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, banyak aduan diterima mengenai pengendalian SOP oleh penganjur dan pematuhan rendah dalam kalangan pengunjung sejak operasi bazar bermula Selasa lalu.

“Sebenarnya, laluan keluar masuk satu hala, semua ada, cuma apabila mereka masuk ke dalam kawasan bazar, kita terima aduan ramai yang tidak patuh SOP.

“Setakat ini, belum ada perancangan untuk batal bazar Ramadan namun jika keadaan tidak terkawal dan mendapat lebih banyak aduan, mungkin kita akan pertimbangkannya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Perpustakaan Komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pangsapuri Seri Kepayang di sini hari ini.

Menurut Nolee Ashilin, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penganjur bazar Ramadan diingatkan agar memastikan SOP yang ditetapkan kerajaan dapat dipatuhi sepenuhnya.

Katanya, amaran juga diberikan kepada pihak yang terlibat dalam menjalankan penguatkuasaan sekali gus memastikan tiada kluster baharu berkaitan bazar Ramadan.

“Kita mempunyai beberapa agensi yang boleh mengeluarkan kompaun, mereka ini akan memainkan peranan dengan memberi amaran awal terlebih dahulu sebelum kompaun dikeluarkan,” katanya.

Dalam pada itu, Nolee Ashilin turut menasihati pengunjung agar tidak membawa anak-anak kecil ke bazar Ramadan kerana bimbang dengan keadaan yang sesak.

“Kita faham ada kes yang tidak boleh tinggalkan anak di rumah cuma mereka perlu bertanggungjwab. Jika tidak perlu, jangan bawa,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai perpustakaan PPR Pangsapuri Seri Kepayang, beliau berkata, perpustakaan mini pertama di PPR itu siap dibina pada Disember lalu membabitkan kos pengubahsuaian berjumlah RM61,000.

“Kita merancang untuk mewujudkan lagi perpustakaan ini semua 14 PPR di Perak di mana projek seterusnya di PPR Sri Conolly di Pasir Puteh,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya