PUTRAJAYA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menyusun semula dua agensinya melalui penyatuan Technology Park Malaysia (TPM) dan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) bagi mewujudkan agensi pengkomersialan teknologi baharu.
Perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet hari ini dan agensi baharu itu diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif TPM, Dzuleira Abu Bakar.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, satu jawatan kuasa akan ditubuhkan untuk memantau penubuhan agensi tersebut.
Beliau berkata, inisiatif itu bertujuan mempersiapkan negara dalam menangani masalah seperti kadar pengkomersialan rendah, perbelanjaan domestik kasar rendah untuk penyelidikan dan pembangunan (GERD), perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) rendah oleh sektor swasta serta pertindihan peranan antara agensi kerajaan.
Katanya, pada tahun pertama menerajui kementerian itu, beliau telah meneliti bidang keutamaan yang memerlukan campur tangan kerajaan bermula dengan agenda pengkomersialan.
“Ini terbukti dalam Pelan Inovasi Teknologi Sains dan Pembangunan Ekonomi Malaysia (MySTIE 10-10) yang dilancarkan pada bulan Disember tahun lalu, di mana pengkomersialan teknologi salah satu daripada 10 program STIE yang direka untuk mendorong penukaran R&D, mewujudkan spin-off serta sokongan ekosistem dan pembangunan teknologi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, landskap inovasi itu perlu terus berkembang dengan cepat untuk kedua-dua syarikat baharu dan syarikat gergasi.
“Kami mencapai prestasi yang cukup baik dalam menjalani gelombang Revolusi Industri ke-4 (4IR) dan kami ingin mempercepat kadar pengkomersialan penyelesaian teknologi dan inovatif dalam usaha memacu Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi,” katanya. – UTUSAN ONLINE