Penubuhan SRC International helah semata-mata - Pendakwaan - Utusan Malaysia

Penubuhan SRC International helah semata-mata – Pendakwaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini diberitahu bahawa penubuhan syarikat SRC International Sdn. Bhd. hanyalah satu helah untuk menggelapkan dana kerajaan berjumlah RM4 bilion.

Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc, Datuk V. Sithambaram turut bersetuju dengan kenyataan yang dibuat Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bahawa penubuhan syarikat terbabit hanyalah satu penyamaran bagi melindungi niat yang sebenar.

Hakim Abdul Karim (HAK): Adakah awak mengatakan bahawa penubuhan syarikat (SRC International) satu helah?

Sithambaram: Penubuhannya bukan helah, tetapi pelaburannya.
HAK: Jadi, ia satu penyamaran bagi niat sebenar?

Sithambaram: Ya. Andai kata syarikat itu (SRC International) benar-benar melakukan pelaburan dan mendapat keuntungan jutaan ringgit atau 100 peratus, awak tetap tidak boleh mengambil RM42 juta untuk kegunaan sendiri.

Tambahnya, jika benar SRC International yang disifatkan sebagai `syarikat RM2′ berjaya dalam pelaburan tenaga boleh diperbaharui (renewable energy), beliau akan berbangga dengan kejayaan tersebut.

“Jika mereka berjaya melakukannya untuk Malaysia, saya akan merasa bangga. Sekurang-kurangnya, tiada lagi masalah gangguan bekalan elektrik di negara ini,” hujahnya yang disambut dengan gelak tawa mereka yang berada di mahkamah.

Sithambaram berhujah demikian pada hari keenam rayuan Najib terhadap sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana syarikat SRC International berjumlah RM42 juta.

Tujuh pertuduhan yang dikenakan terhadap Najib membabitkan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan dana syarikat itu. SRC International merupakan syarikat subsidiari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Terdahulu, Sithambaram menyatakan, tiada sebarang bukti atau dokumen dikemukakan untuk menunjukkan bahawa kesemua dana yang diperolehi daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) telah dilaburkan sewajarnya sebagaimana dinyatakan dalam dokumen penubuhan syarikat tersebut.

“Ia merupakan satu strategi yang baik (rancangan pelaburan) tetapi, sehingga kini, tiada sebarang hasil ditunjukkan. Atas kertas, dalam minit (mesyuarat), kertas cadangan kepada Lembaga Pengarah, tetapi, hakikatnya, tiada apa. Awak juga tidak boleh sambil membuat pelaburan, kemudian, ambil RM42 juta. Semuanya hanyalah satu helah, tiada apa yang berlaku,”katanya.

Tambahnya, ekoran SRC International hanya beroperasi ketika berusaha untuk mendapatkan dana, memindahkan dana dan selepas dana diperoleh, segala operasi terhenti.

Menurut Sithambaram, sewaktu soal balas, Najib sendiri mengakui bahawa selepas dana RM4 bilion dikeluarkan daripada SRC International, tiada sebarang operasi atau mesyuarat dilakukan oleh syarikat itu.

Rayuan masih berjalan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya