MENGAMALKAN gaya hidup sihat kini menjadi trend utama di Malaysia. Rakyat mulai sedar mengenai kebimbangan mengenai masalah obesiti dan diabetes yang semakin menjadi-jadi yang mendorong orang ramai dari semua peringkat usia untuk mengubah gaya hidup mereka.
Ini termasuklah senaman secara teratur, mendapat rehat yang cukup dan yang paling penting adalah mengambil bahan makanan yang baik dan sihat.
Dalam penyelidikan yang dilakukan oleh Food Industry Asia baru-baru ini, seramai 81 peratus rakyat Malaysia mempunyai kesedaran diri untuk menjaga diet mereka.
Namun, terdapat 46 peratus yang mengatakan mereka tidak mengambil makanan secara sihat dan lebih daripada separuh walaupun tahu jika mengamalkan diet pemakanan sihat boleh menjurus kepada kehidupan yang lebih baik, namun mereka tidak mengamalkannya.
Jika dilihat kepada situasi ini, cukup jelas ramai orang memerlukan lebih banyak bantuan dan pendidikan mengenai jenis makanan yang sepatutnya dipilih bagi mendorong kehidupan ke arah kehidupan lebih sihat.
Salah satu pendidikan yang perlu ditekankan adalah indeks glisemik (GI).
GI merupakan satu ukuran atau angka yang dapat memberi gambaran tentang seberapa cepat tubuh manusia mencerna karbohidrat yang boleh meningkatkan kadar gula dalam darah seseorang individu.
GI digunakan untuk membezakan karbohidrat dan membolehkan pengguna memilih bahan makanan yang boleh membantu menjaga tahap gula dalam darah ke arah yang lebih stabil. Konsep GI boleh digunakan sebagai langkah tambahan untuk merancang diet harian.
Terdapat tiga penilaian terhadap GI iaitu GI Tinggi (nilai GI lebih 70), GI Sederhana (nilai GI 56 hingga 69) manakala GI Rendah (kurang 55). Setiap individu perlu menstabilkan kadar glukosa dalam darah dengan memakan makanan yang mempunyai nilai GI rendah untuk mencegah pelbagai penyakit kronik termasuk diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung, kolesterol tinggi, strok dan barah.
Namun begitu, pengetahuan mengenai konsep GI di Malaysia masih kurang dipraktikkan terutamanya pada label bahan makanan berbanding beberapa negara lain seperti Australia, New Zealand
mahupun negara jiran Singapura.
Pengambilan diet yang sihat sangat penting di Malaysia. Ini kerana banyak masalah kesihatan yang berlaku antaranya 30 peratus golongan orang dewasa mempunyai berat badan berlebihan, 18 peratus orang dewasa obesiti manakala 25 peratus kanak-kanak kurang berat badan.
Bukan itu sahaja, paling membimbangkan adalah generasi muda yang mana ketika ini sebanyak 18 peratus kanak-kanak di negara ini sudah menghidap diabetes.
Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia, Dr. Tee E Siong berkata, bagi memastikan keadaan ini tidak terus berlaku, strategi yang lengkap dan komprehensif perlu dilaksanakan segera, termasuk Pelan Tindakan Nasional untuk Pemakanan (NPAN) III.
“Tindakan serius hendaklah diambil untuk mengimplementasi strategi dan program yang telah dikenal pasti dalam NPAN. Tindakan juga perlu diambil oleh beberapa kementerian yang berkaitan dan bukan hanya oleh Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM).
“Ini kerana masalah pemakanan (kekurangan dan lebihan nutrisi) hendaklah diatasi menerusi tindakan beberapa kementerian termasuk Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pertanian, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan lain-lain,” katanya baru-baru ini.
Jelasnya, kolaborasi juga perlu diadakan di antara kerajaan dengan badan profesional, ahli akademik dan sektor swasta terutamanya pemainpemain industri pemakanan.
“Selain daripada itu, sumber yang cukup hendaklah diperoleh untuk melaksanakan semua program dan aktiviti yang berkaitan termasuk sumber kewangan dan juga tenaga manusia yang terlatih, khasnya pegawai pemakanan (nutritionists),” jelasnya.
Katanya lagi, konsep mengukur kualiti karbohidrat berdasarkan indeks GI pada dasarnya dapat menjadi sebahagian daripada program komprehensif yang sangat diperlukan.
“Peraturan makanan Malaysia belum menyetujui penggunaan GI pada label, walaupun beberapa pakar diet Malaysia mungkin menggunakan konsep GI semasa mereka berunding dengan pesakit diabetes,” katanya.
Sementara itu, seorang pakar dari Universiti Monash Australia, Dr. David Kanna berkata, kajian sains telah menunjukkan bahawa pengenalan terhadap diet dan penggunaan label GI rendah boleh mengurangkan risiko masalah kesihatan yang ketara dan merupakan kaedah yang paling mudah dan berkesan.
“Terdapat banyak kajian positif yang menunjukkan bahawa mengikuti diet rendah GI dapat mengurangkan risiko diabetes dan obesiti bahkan terdapat organisasi bebas antarabangsa telah ditubuhkan untuk membantu mendidik pengguna dan membantu kajian dan kepatuhan seperti GI Foundation.
“Dengan mempromosikan, mendidik dan melabel dengan jelas pilihan GI rendah di pasaran dapat memudahkan pengguna dan pembeli untuk membuat pilihan makanan yang lebih baik untuk amalan diet mereka.
“Bukan itu sahaja, kaedah ini juga boleh menjadi dorongan terhadap syarikat pengeluaran makanan untuk mengubah semula adunan mereka dan menghasilkan bahan makanan versi rendah GI untuk pasaran Malaysia,” ujarnya.
Tambahnya lagi, kajian juga telah membuktikan ada banyak kesan positif yang akan diperoleh jika ada cara kaedah terbaik bagi memastikan pengambilan makanan rendah GI bagi keseluruhan diet. Ini termasuk menurunkan kadar glisemik dalam kalangan penduduk dan juga dapat mengurangkan risiko diabetes, CHD dan obesiti. – UTUSAN ONLINE