BACHOK: Sembilan penghuni Pusat Pemulihan Negeri Kelantan (PMNK) yang merupakan golongan orang kurang upaya (OKU) dipilih menyertai Projek Ternakan Ayam Kampung Kacuk di Kampung Aur, Telong, di sini yang bermula sejak sebulan lalu.
Projek kerjasama PMNK dengan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Perbadanan Nasional Bhd. (PNB) itu bermula dengan 1,500 ayam kampung kacuk dan para peserta disasarkan mampu menjual sehingga 12,000 ayam dalam tempoh setahun.
Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Ts. Dr. Noor Azizi Ismail berkata, projek fasa pertama itu membabitkan kos RM99,800 sumbangan PNB dan dikendalikan oleh Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) bersama Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPEK).
“FPV UMK adalah fakulti veterinar kedua di Malaysia dan kita mempunyai kepelbagaian kepakaran yang boleh dimanfaatkan untuk membantu masyarkat berkaitan dengan penternakan haiwan.
“Oleh sebab itu, projek ini diusahakan di bawah inisiatif ‘InsPEK Jiwa Asnaf’ yang digerakkan oleh InsPEK sebagai salah sebuah institut di bawah UMK,” katanya kepada pemberita selepas perasmian dan lawatan ke tapak projek itu hari ini.
Menerusi projek itu, pihak UMK membina tiga unit reban dengan setiap satu menempatkan 500 anak ayam dan dalam tempoh beberapa bulan ini, para peserta akan dibimbing secara teori serta praktikal berkaitan aspek penjagaan ayam secara komersial.
Sementara itu, Pengurus PMNK, Ahmad Fatihi Abd.Razak berkata, projek itu adalah inisiatif bagi membantu OKU yang bernaung di bawah PMNK menjana pendapatan sekali gus mampu menyara diri dan keluarga masing-masing.
“Setakat ini seramai 200 OKU ditempatkan di PMNK dan mereka terlibat dengan pelbagai proje seperti membuat perabot serta membuat kek dan pastri. Sekarang, menternak ayam baka kampung kacuk juga menjadi sebahagian daripadanya.
“Sementara menunggu hasil jualan ternakan mereka, para peserta akan diberi elaun sebanyak RM500 sebulan selain turut disediakan tempat tinggal,” katanya.
Seorang peserta projek, Sulaiman Setapa, 61, berasal dari Gua Musang yang cacat kedua-dua kaki selepas terjatuh dari kereta api sekitar 1978 mengakui teruja apabila terpilih menyertai projek itu bersama rakan-rakan lain.
“Saya sudah 30 tahun bernaung di bawah PMNK dan bekerja sebagai pembuat perabot bagi membesarkan empat anak yang kini berusia 18 hingga 24 tahun sendirian selepas isteri, Khatijah Che Hamid meninggal dunia.
“Bagi projek ini, saya diminta menjaga satu reban yang menempatkan 500 ekor anak ayam kampung kacuk bersama dua rakan. Antara rutin harian kami ialah memberi ayam makan empat kali sehari dan membersihkan reban,” katanya. -UTUSAN ONLINE