Penolong pegawai farmasi ditipu pegawai LHDN palsu - Utusan Malaysia

Penolong pegawai farmasi ditipu pegawai LHDN palsu

HOO CHANG HOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Seorang penolong pegawai farmasi kerugian kira-kira RM21,000 selepas terpedaya dengan memberikan nombor depan kad mesin juruwang automatik (ATM) miliknya kepada ahli sindiket Macau Scam.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, mangsa iaitu seorang wanita berusia pertengahan 50-an menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Samsul Zaman dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ketika sedang bekerja kira-kira pukul 11.43 pagi, Isnin lalu.

Katanya, pemanggil menyatakan mangsa mempunyai akaun tertunggak sebanyak RM38,600.90 yang perlu dijelaskan atas nama syarikat Anco Marketing & Trading.

“Mangsa menafikannya, namun panggilan berkenaan disambungkan kepada ‘Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan’ dan mangsa bercakap dengan ‘Sarjan Danny’.

“Mangsa ditakut-takutkan dengan risiko akaun bank dibekukan kerana terlibat dengan pengubahan wang haram dan panggilan berkenaan disambungkan kepada ‘Tuan Rosdi’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chang Hook berkata, ahli sindiket menakutkan lagi mangsa dengan menyatakan penyata banknya ditemukan dalam rumah penjenayah dan mangsa diminta bercakap dengan seseorang individu lain berpangkat Datuk supaya tidak dikenakan hukuman dan waran tangkap.

Menurutnya, mangsa bercakap dengan individu berkenaan yang memperkenalkan diri sebagai ‘ACP Zulkifli’ dan meminta nombor depan kad ATM mangsa untuk memastikan dengan Bank Negara Malaysia bahawa akaun mangsa tidak terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.

“Selepas memberi nombor depan kad ATM, mangsa menerima satu mesej dari Bank Rakyat mengatakan ada membuat pemindahan wang sebanyak RM10,000 daripada akaun Tabung Haji dan memindahkan wang itu ke akaun Bank Rakyat.

“Mangsa membuat pemeriksaan ke atas kesemua akaun dan mendapati wang miliknya berjumlah RM21,250.50 telah hilang daripada akaun CIMB dan Bank Rakyat. Mangsa yang menyedari tertipu membuat laporan polis di Balai Polis Bahau, semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Chang Hook dalam pada itu berharap agar orang ramai supaya tidak panik apabila menerima panggilan dari individu menyamar dari agensi tertentu dan boleh menyemak dulu secara terus dengan agensi berkenaan.

“Amat penting untuk tidak berkongsikan butiran maklumat peribadi bagi mengelak ditipu membabitkan kes jenayah kolar putih ini,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya