GEORGETOWN: Seorang penjual kuih dituduh membunuh anggota polis dengan menghimpit motosikal mangsa sehingga terjatuh dalam kejadian pada 17 April lalu.
Mohd. Arafat Taufik, 35, dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di hadapan Majistret Jamaliah Abdul Manap di Mahkamah Majistret Jenayah 1 di sini, pagi ini.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pada 17 April lalu antara pukul 1 hingga 2 pagi di Jalan Utama di sini menyebabkan kematian Muhammad Iqbal Mazlan dengan memandu secara berbahaya dengan menghimpit motosikal mangsa sehingga jatuh lalu menyebabkan kematian.
Kes dikendalikan Timbalam Pendakwaraya Yazid Mustakim Roslan manakala tertuduh diwakili peguam, G. Shanmugam.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 23 Jun ini untuk proses dokumentasi.
Akhbar pada 18 April lalu melaporkan, Muhammad Iqbal yang bertugas di Balai Polis Dato Keramat di sini maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas lalu terhantuk pada pembahagi jalan ketika mengejar suspek dari Jalan Scotland.
Ketika kejadian anggota terbabit bersama dua lagi anggota sedang menjalankan rondaan cegah jenayah sebelum terserempak dengan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
Suspek bertindak melarikan diri sebaik sahaja pemeriksaan dijalankan dengan menunggang motosikal secara berbahaya dan menghimpit motosikal yang ditunggang anggota berkenaan menyebabkan mangsa terbabas dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Suspek yang diberkas di lokasi kejadian turut didapati positif dadah jenis Methamphetamine, Amphetamine dan ganja hasil saringan air kencing. – UTUSAN ONLINE