Peniaga tersepit dengan arahan penutupan pasar malam - Utusan Malaysia

Peniaga tersepit dengan arahan penutupan pasar malam

NURHAYATI Abdullah yang berniaga ABC di Pasar Malam Palm Square, Kinarut, Sabah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: “Sudahlah tiada bazar Ramadan, pasar malam tempat peniaga mencari rezeki tambahan pun turut ditutup”.

Begitulah luahan peniaga pasar malam Palm Square, Kinarut ketika ditanya mengenai keputusan kerajaan menutup pasar malam di daerah Papar selama dua minggu berkuat kuasa mulai esok. 

Nurhayati Abdullah, 31, berkata, peniaga kecil-kecilan sepertinya bergantung hidup dengan hasil jualan di pasar malam. Jika pasar itu ditutup, di mana lagi mereka hendak mencari rezeki. 

“Kalau diperhatikan peniaga dan pelanggan di sini memang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, hanya 20 pelanggan dibenarkan masuk pada satu-satu masa jadi tiada kesesakan yang berlaku. 

“Kami hairan apabila Majlis Daerah Papar tiba-tiba mengeluarkan notis arahan untuk menutup pasar malam bermula esok. 

“Kalau dilihat kes di daerah ini tidak tinggi mahupun naik mendadak jadi, kenapa pasar malam diarahkan tutup sedangkan premis perniagaan lain seperti restoran masih dibenarkan beroperasi,” katanya ketika ditemui di pasar malam Palm Square Kinarut, dekat sini,hari ini.

Menurutnya, bekalan bahan mentah yang dibeli untuk menjual ayam goreng, mi goreng dan air batu campur (ABC) tidaklah banyak tapi, dalam tempoh dua minggu penutupan pasar itu, mereka boleh memperoleh pendapatan melebihi RM500. 

Nurhayati berkata, larangan operasi bazar Ramadan di Sabah pada tahun ini memberi sinar harapan kepada peniaga pasar malam sepertinya memperoleh pendapatan tambahan. Tetapi, tidak disangka operasi pasar malam pun diarahkan tutup. 

 

MAYUMI KASARDI

Sementara itu, Mayumi Kasardi, 40, berkata, menjadi satu-satunya peniaga sate di pasar malam itu membolehkan mereka memperoleh pendapatan yang agak baik dalam tempoh 10 hari Ramadan ini. 

Penutupan pasar malam bermula esok mendatangkan kerugian besar kepada mereka kerana berniaga sate memerlukan modal yang besar.

“Bayangkan kami sudah menyediakan bahan mentah untuk tempoh seminggu dengan kos kira-kira RM5, 000 dan tiba-tiba baru semalam ternampak notis arahan penutupan pasar malam di daerah ini menerusi media sosial.  

“Jadi kami merayu dan meminta kerajaan untuk memberikan alasan kenapa pasar malam di sini diarahkan tutup sedangkan keadaan cukup terkawal dan pelanggan pun tidak bersesak-sesak,” katanya. 

Mayumi berkata, mereka akan cuba meneruskan jualan secara dalam talian bagi menghabiskan stok bahan mentah yang sudah dibeli. Jika tidak, bahan itu akan rosak sekiranya disimpan terlalu lama. 

Pada 15 April, kerajaan negeri mengeluarkan arahan untuk semua pihak berkuasa tempatan (PBT) agar mengkaji semula aktiviti pasar malam, pasar am, pasar mingguan, tamu, gerai-gerai di daerah masing-masing. 

Susulan arahan itu, beberapa PBT mula mengeluarkan arahan penutupan operasi pasar malam dan tamu mingguan di beberapa daerah termasuk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti di Tawau, Sandakan dan Lahad Datu. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN