SUNGAI PETANI: Kenaikan harga barangan basah seperti ayam, daging dan sayuran secara mendadak memberi kesan kepada peniaga makanan khususnya mereka yang akan menjalankan perniagaan sepanjang Ramadan ini.
Tinjauan ke beberapa pasar basah dan kedai mendapati, sebelum ini harga ayam dijual harga
RM8.20 sekilogram kini melambung sehingga RM9 sekilogram manakala daging tempatan pula dijual antara RM36 hingga RM38 sekilogram.
Bahan mentah lain seperti sayuran hijau juga lebih mahal berbanding sebelum ini dengan kenaikan mencecah antara RM3 ke RM4 sekilogram bagi setiap barangan menyebabkan peniaga mula merungut.
Peniaga makanan, Saleha Mat Yatim,49, berkata peningkatan harga mula berlaku sejak minggu lalu dan amat menggusarkan mereka sebagai peniaga pasar Ramadan di sini.
“Jika sebelum ini saya memperuntukkan RM700 hingga RM900 sehari untuk modal bahan mentah bagi membuat 20 jenis lauk pauk dan kuih, kini harga itu meningkat sekali ganda.
“Bayangkan bagaimana nanti kami nak jual kerana jika terlalu mahal pelanggan akan merungut, sebaliknya jika murah kami yang akan rugi,” katanya.
Bagi Sorizon Kasim, 59, berkata, selain sayuran hijau, harga ikan dan hasil laut juga meningkat mendadak menyebabkan perniagaannya pada bulan Ramadan ini terbeban berbanding tahun-tahun sebelum ini.
“Walaupun keuntungan yang bakal diperolehi agak tipis tetapi kami terpaksa membuka gerai makan kerana ini adalah sumber pendapatan menyara keluarga.
“Paling merisaukan ialah takut pelanggan tidak datang kerana bimbangkan penularan wabak Covid-19 dan lebih selesa memasak di rumah kerana ini akan menyebabkan kami terpaksa menanggung kerugian,” katanya.
Seorang ibu tunggal, Che Ani Che At, 42, pula berkata, dia memang terkesan dengan kenaikan harga barang keperluan sejak beberapa hari lalu.
Katanya, kenaikan harga yang ketara melibatkan sayur-sayuran, barang dapur dan ayam yang perlu dibeli setiap hari sebagai bahan utama menyedia juadah untuk dijual di gerainya di Taman Ria Jaya di sini.
“Disebabkan harga barangan harian meningkat, saya rasa peniaga di bazar Ramadan tahun ini akan mendapat keuntungan yang sedikit,” katanya. -UTUSAN ONLINE