KOTA BHARU: Tanpa rasa bersalah, terdapat peniaga di negeri ini menjual ayam pada harga runcit lebih mahal berbanding kadar ditetapkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) 2021 yang berkuat kuasa semalam.
Tinjauan Utusan Malaysia di Pasar Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini pagi semalam mendapati, ayam standard dijual pada harga RM8.80 sekilogram, berbanding RM7.90 kadar ditetapkan.
Ketika ditanya kenapa harganya lebih mahal berbanding harga dibenarkan SHMMP, para peniaga terbabit memberi alasan bakal menanggung kerugian jika menjualnya pada harga RM7.90 sekilogram.
“Kami beli bekalan ayam pun harganya sudah mahal, memang tak bolehlah guna harga itu (RM7.90),” kata salah seorang peniaga tanpa mahu melayan lebih lanjut pertanyaan wartawan yang menyamar sebagai pembeli.
Sementara itu di Pasir Puteh, gerai-gerai di sepanjang jalan utama Pasir Puteh – Kota Bharu mengambil pendekatan ‘berjaga-jaga’ dengan cara tidak meletakkan tanda harga terkini ayam yang dijual di gerai masing-masing.
Mereka hanya memberitahu harga ayam tersebut apabila ditanya dan harga ditetapkan bagi sekilogram ayam bermula dengan RM8, bergantung kepada situasi semasa dan siapa pembeli tersebut.
Bagaimanapun, empat peniaga tersohor masih menjual ayam pada harga rendah iaitu Jukee Ayam dengan harga RM6.99 sekilogram, Ayam Bukit Peraksi (RM7.30 sekilogram), Ayam Lundang Grup (RM7.39 sekilogram) dan Ayam Serol Sungai Petai (RM7.80 sekilogram).
Pemilik Ayam Serol Sungai Petai atau nama sebenar, Ahmad Hasbullah Ariffin, 34, berkata, gerainya menjual ayam pada harga yang sama iaitu RM7.80 sejak awal Ramadan dah sekadar memperoleh untung minimum.
“Saya dapat bekalan ayam dari Terengganu sebanyak 150 ekor setiap hari bagi memenuhi permintaan penduduk sekitar Kampung Sungai Petai dan Kampung Pulau Lima. Dengan harga modal sudah tinggi, memang untung saya dapat terlalu sedikit.
“Kerajaan seharusnya bertegas terhadap kenaikan harga dedak yang menjadi penyebab utama kenaikan harga ayam serta ternakan lain,” katanya. – UTUSAN ONLINE