JOHOR BAHRU: Usaha kerajaan memperkenal Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 yang dikuat kuasa mulai esok disambut baik oleh persatuan peniaga di negeri ini.
Menurut Pengerusi Persatuan Peniaga-peniaga Pasar Awam Larkin Sentral, Abdullah Idris, 59, langkah itu adalah jalan yang terbaik bagi membela nasib pengguna yang terkesan akibat kenaikan harga barang sejak akhir-akhir ini.
Katanya, dengan adanya SHMMP 2021 itu, tidak timbul lagi isu peniaga menaikkan harga jualan sesuka hati sehingga membebankan pengguna yang berdepan ekonomi tidak menentu dan lebih menarik, ia dilaksana lebih awal iaitu tidak sampai 10 hari umat Islam berpuasa.
“Langkah ini juga membuktikan pihak kerajaan mendengar keluh kesah rakyat yang berdepan kesulitan disebabkan kenaikan harga barangan kawalan khususnya ayam segar dan daging tempatan.
“Dengan ini, setidak-tidaknya dapat meredakan kebimbangan dalam kalangan pengguna yang terjejas pendapatan disebabkan pandemik Covid-19 selain memudahkan mereka membuat persiapan perayaan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi melancarkan SHMMP 2021 yang berkuat kuasa selama 30 hari bermula esok hingga 20 Mei ini sebagai langkah menyekat kenaikan harga barangan keperluan semasa bulan Ramadan dan menjelang Aidilfitri pada 13 Mei ini.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Pengguna Bumiputera Negeri Johor, Soekarno Talib menyambut baik usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang dilihat tepat pada masanya.
Jelasnya, dengan adanya penetapan harga siling, tidak timbul lagi isu peniaga menaikkan harga jualan melebihi harga yang ditetapkan dan langkah ini pastinya memberi manfaat kepada pengguna.
“Justeru, kita berharap pihak pembekal, orang tengah dan peniaga dapat mematuhi harga siling yang ditetapkan. Kita juga berharap terdapat pemantauan dilakukan oleh pihak berkuasa untuk memastikan pematuhan harga dapat dilakukan serta mengambil tindakan bagi yang ingkar,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE