JOHOR BAHRU: Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 yang bermula hari ini bukan sahaja memberi kelegaan buat pengguna, bahkan rata-rata peniaga juga ibarat mendapat durian runtuh dengan hasil jualan masing-masing.
Malah, tinjauan Utusan Malaysia di Pasar Awam Larkin Sentral hari ini mendapati, para peniaga memaparkan tanda harga baharu dengan jelas mengikut harga siling yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dibawah SHMMP.
Bagi jualan ikan kembung, peniaga menjualnya pada harga RM12.50 sekilogram sementara harga kawalan yang ditetapkan di bawah SHMMP bagi Semenanjung adalah RM15, begitu juga dengan ayam standard yang dijual pada harga RM7.90 sama seperti harga siling.
Menurut peniaga ikan, Mohmud Tahir, 50, hasil jualannya bagi ikan kembung mencatatkan peningkatan berbanding sebelum harga siling ditetapkan.
Dia yang mula meniaga dari pukul 7 pagi itu berkata, ikan kembung jualannya hampir habis terjual dan hanya tinggal empat ekor sahaja sehingga pukul 11 pagi ini.
“Kebiasaannya, saya akan mengambil stok ikan kembung antara 10 hingga 15 kilogram sehari sahaja kerana khuatir ia tidak habis terjual apabila hanya meniaga sehingga pukul 2 petang sahaja.
“Saya tak sangka pula ia akan cepat habis seperti hari ini berbanding ikan lain. Sambutan ini di luar kebiasaan dan ramai yang datang membeli dan mungkin akan mengambil lebih bekalan selepas ini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Selain ikan kembung, ikan selayang dan ikan tongkol (Pahang, Terengganu dan Kelantan) juga tersenarai dalam 12 barangan SHMMP 2021 disamping ayam, telur dan daging lembu tempatan serta daging kerbau import.
Mohmud berkata, buat masa ini, ikan selayang tidak ada di pasaran memandangkan bekalan ikan itu tidak mencukupi kerana bergantung kepada musim.
Bagi peniaga ayam pula, Shahran Osman, 54, berkata, hasil jualan ayam yang diusahakannya turut mencatatkan peningkatan, namun, tidak begitu ketara.
Katanya, tidak ada lagi rungutan daripada pembeli setelah KPDNHEP memperkenal harga baharu bagi ayam standard itu.
“Hasil jualan boleh tahan juga, ada peningkatan tetapi yang penting pembeli tidak lagi merungut setelah harga ayam naik mendadak sebelum ini.
“Pematuhan harga baharu itu juga dilaksanakan untuk kebaikan semua. Saya fikir lebih baik mereka akur dengan harga baharu daripada dikenakan tindakan saman, tak balik modal,” katanya. -UTUSAN ONLINE