MELAKA: Tindakan seorang peniaga nasi campur menyediakan khidmat pesanan pandu lalu kepada umat Islam yang tidak berpuasa berjaya dihidu penguat kuasa apabila ditahan dalam serbuan Op Tak Puasa, di Bukit Baru di sini, semalam.
Dalam operasi kira-kira pukul 1 petang itu, peniaga berusia 62 tahun itu dicekup Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bersama-sama seorang pelanggan berusia 53 tahun.
Pengarahnya, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, hasil pemeriksaan, peniaga tersebut didapati menjual nasi campur pelbagai lauk dan air minuman yang telah siap dibungkus untuk dibeli secara pandu lalu oleh pelanggan.
Beliau berkata, peniaga tersebut pada awalnya menafikan menjual makanan kepada umat Islam, namun, mengaku setelah salah seorang pelanggannya ditahan ketika menunggu pesanan makanannya siap.
“Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA) telah melakukan penyamaran berjaya mengesan aktiviti membeli makanan secara pandu lalu di sebuah restoran di Bukit Baru.
“Ketika serbuan dijalankan, beberapa pelanggan telah melarikan diri meninggalkan restoran tersebut dan kita hanya berjaya menahan seorang lelaki yang merokok di kawasan itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil soal siasat, lelaki berusia 53 tahun itu memberitahu berada di kawasan itu bagi menunggu makanannya siap, dan alasan tidak berdaya untuk berpuasa disebabkan menghidap kencing manis.
“Bagaimanapun, kita lihat alasan diberikan tidak relevan dengan tindakannya yang menghisap rokok di tempat awam.
“Peniaga tersebut kemudian diberikan surat perintah hadir bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991,” ujarnya.
Jelasnya, sabit kesalahan, warga emas itu boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan.
Tambahnya, pelanggan tersebut yang melakukan kesalahan merokok pada waktu siang di bulan Ramadan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500 atau dipenjara sehingga tiga bulan.
Katanya, pihaknya akan terus melakukan pemantauan dan rondaan secara berkala pada waktu siang sepanjang bulan ini di lokasi-lokasi ‘panas’ yang dikesan di negeri ini.
“Umat Islam di Melaka juga diingatkan agar terus memelihara kesucian agama dan tidak mencemarkannya serta menghormati bulan yang mulia dan penuh keberkatan ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE