KUANTAN: Kenaikan mendadak harga tebu atau nama saintifiknya Saccharum Officinarum pada bulan Ramadan ini meresahkan peniaga minuman tersebut.
Kebiasaannya, harga tebu dijual tidak menentu sekitar 80 sen sebatang ke atas tetapi pada bulan Ramadan ini, ia dijual pada harga RM2.50 sebatang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, peniaga air tebu, Muhammad Syazwan Muhammad Pauzi, 27, berkata, kenaikan harga tebu ketika ini begitu mendadak.
Beliau yang berniaga minuman itu sejak berusia 15 tahun berkata, dia hairan kenapa setiap kali bulan Ramadan harga tebu menjadi tidak terkawal dan kali ini dianggapnya sebagai melampau.
Dahulu katanya, dalam tiga ke empat tahun lalu, harga tebu tidak lebih 80 sen sebatang yang mana jika dijual pada berkenaan ketika itu, ia sudah terlalu mahal.
“Saya berniaga bukan pada bulan puasa sahaja, ia kerjaya harian yang mana sejak berusia 15 tahun lagi saya membantu arwah ayah menjual air balang.
“Kini harga tebu terlalu mahal dan melampau RM2.50 sebatang, jadi perlu bergantung pada air balang lain. Jika tidak ia sukar bagi saya ditambah dengan sewa tapak bazar yang meningkat. Dulu sewa RM550 sahaja tetapi kini RM950,” katanya di sini semalam.
Peniaga air tebu setiap kali bulan Ramadan, Ahmad Faisha Mat Lazim, 50, berkata, harga tebu kali ini disifatkannya sebagai tidak masuk akal.
Katanya yang juga peniaga roti canai, disebabkan itu dia mengambil keputusan untuk tidak berniaga minuman tersebut pada Ramadan kali ini.
“Hendak beli tebu pun modal perlu besar kerana harganya mahal ketika ini, lebih RM2 sebatang. Jadi saya ambil keputusan tidak berniaga,” katanya. -UTUSAN ONLINE