KUANTAN: “Hari ini kami hanya untung RM20 sahaja selepas setengah hari berniaga.”
Demikian keluhan peniaga ayam, Shahrom Mohammad, 40, tentang pendapatannya yang terjejas berikutan stok ayam yang dicatu pihak pembekal.
Menurutnya, hari pertama pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) 2021, pembekal mula mencatu stok ayam berikutan ada segelintir kilang pemprosesan ayam ‘bercuti’.
“Hari ini kami hanya menerima bekalan ayam sebanyak 20 ekor sahaja dan pembekal terpaksa mencatu bekalan bagi membolehkan semua peniaga menerima bekalan ayam darinya.
“Saya difahamkan esok kami hanya akan menerima bekelan ayam yang sudah disejuk beku dari kilang kerana kilang hanya memproses hari ini dan menyimpannya untuk jualan esok,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Shahrom berkata, dia tidak tahu sampai bila situasi itu akan berterusan namun berharap ia tidak berlarutan terlalu lama sehingga menjejaskan pendapatanya bulan ini terutama ketika umat Islam akan menyambut Aidilfitri bulan depan.
Sementara itu, tinjauan Utusan di beberapa pasar di bandar ini mendapati rata-rata peniaga mematuhi harga SHMMP 2021 untuk 12 barangan yang disenaraikan.
Selain itu, peniaga juga turut mempamerkan harga jualan masing-masing seperti peraturan yang ditetapkan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). – UTUSAN ONLINE