KUANTAN: Keluhan peniaga tentang kenaikan harga barang basah mula kedengaran walaupun umat Islam baru sahaja menjalani ibadah puasa bermula hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di Pasar Besar Kuantan di sini mendapati beberapa jenis barang basah seperti ikan, sayur dan ayam sudahpun mengalami peningkatan beberapa hari sebelum puasa.
Kebanyakan peniaga yang ditemui berkata kenaikan itu bukan baru malah sejak seminggu lalu peningkatan harga bagi sesetengah barang sudah dirasai.
Selain cuaca, sikap ‘orang tengah’ atau pembekal yang mengambil kesempatan menaikkan harga antara faktor yang menyebabkan kekurangan bekalan dan keadaan berlanjutan apabila tiba bulan Ramadan.
Susulan bekalan yang tidak mencukupi, peniaga terpaksa menaikkan harga bagi sesetengah sayur dan ikan yang mengalami kekurangan bekalan.
Tinjauan ke pasar berkenaan mendapati sawi dijual pada harga RM6 ke RM7 sekilogram, berbanding sebelum ini pada RM3 ke RM4 sahaja.
Daun bawang naik mendadak pada harga RM25 sekilogram berbanding seminggu sebelum puasa RM6 sekilogram. Bagaimanapun harga tomato mengalami penurunan RM3 berbanding RM8 sebelumnya.
Beberapa jenis sayuran seperti kacang panjang kekal pada harga RM6, kobis RM3, lada hijau (kecil) RM8 dan lada merah Kulai RM12 sekilogram.
Tinjauan juga mendapati harga ayam meningkat RM9.60 berbanding RM8.60 seminggu sebelum puasa manakala harga daging lembu segar dan daging kerbau beku kekal RM34 dan daging lembu RM21 sekilogram manakala sotong berharga antara RM37 hingga RM44 bergantung pada saiz.
Peniaga sayur, Mohd. Radzuan Abd. Malik, 45, berkata, faktor cuaca dan kekurangan bekalan menyebabkan harganya meningkat.
“Beberapa minggu lalu hujan di Kuantan dan pembekal hampir terputus bekalan. Ia secara tidak langsung mempengaruhi permintaan peniaga untuk mendapatkan bekalan sayuran itu.
“Bagaimanapun, beberapa jenis sayuran lain masih kekal pada harga biasa dan diharap tiada peningkatan ketara sepanjang Ramadan ini,” katanya ketika ditemui di Pasar Besar Kuantan di sini semalam.
Peniaga ikan yang hanya ingin dikenali sebagai Sham, 52, berkata, ikan kembung dijual pada harga antara RM22 hingga RM25 sekilogram berbanding RM20 hingga RM23 sekilogram, kerisi antara RM15 hingga RM18 sekilogram berbanding RM12 hingga RM15 dan pelaling RM8 hingga RM15 sekilogram.
Bagaimanapun, katanya, harga beberapa jenis ikan lain masih kekal seperti merah yang dijual pada harga RM38 sekilogram dan kerapu (RM28), manakala siakap mengalami kenaikan harga antara RM17 hingga RM18 berbanding RM12 sebelumnya.
“Faktor cuaca, orang tengah dan pembekal memainkan peranan dalam menentukan harga ini naik atau turun selain kami sendiri yang perlu mengira kos lain seperti air batu, plastik, tong ikan dan upah pekerja.
“Kami amat berharap ada pemantauan daripada kerajaan atau pihak terbabit mengenai kenaikan harga barang basah pada bulan puasa ini kerana ia agak membebankan peniaga dan pembeli,” katanya. -UTUSAN ONLINE