GEORGETOWN: Lebih 30 peniaga asal Kompleks Mutiara Selera Tanjung Bungah di sini membantah tindakan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang membatalkan lesen perniagaan mereka tanpa sebarang perbincangan.
Pengerusi Persatuan Penjaja Kompleks Mutiara Selera Tanjung Bungah, Mat Adenan Abd. Aziz berkata, peniaga hanya menerima dua pucuk surat daripada MBPP yang memaklumkan mengenai pembatalan lesen tersebut pada 13 dan 26 April lalu.
Menurut beliau, walaupun mereka tidak dapat berniaga sejak insiden kebakaran November tahun lalu, namun peniaga masih membayar yuran lesen sebanyak RM35 setiap bulan.
“Tiba-tiba sahaja kami terima surat mengenai pembatalan lesen tanpa sebarang perbincangan dijalankan dan ini tidak adil buat peniaga di sini,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Mutiara Selera Tanjung Bungah di sini.
Dalam kejadian 7 November tahun lalu, Kompleks Mutiara Selera Tanjung Bungah yang menjadi tumpuan orang ramai khususnya para pelancong hampir musnah sepenuhnya dalam kebakaran namun tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Kompleks itu akan dibangunkan semula oleh kerajaan negeri dengan kos RM3.49 juta dan dijangka siap Januari tahun depan.
Menurut Mat Adenan, majoriti peniaga di situ tidak bersetuju lesen perniagaan mereka dibatalkan kerana bimbang tidak dapat lagi berniaga di premis baharu yang akan dibangunkan di situ.
“Jika lesen kami dibatalkan, kami akan jadi sebagai pemohon lesen baharu sedangkan ada peniaga yang telah berniaga lebih 40 tahun di medan selera ini.
“MBPP wajar menangguhkan lesen kami bukannya membatalkannya tanpa persetujuan kami semua,” katanya.
Dalam pada itu seorang peniaga makanan, Ooi Lean Sim, 78, berkata, dia berharap lesen perniagaannya tidak dibatalkan oleh MBPP memandangkan dia tetap mahu berniaga di premis itu.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, MBPP harus membatalkan lesen perniagaan penjaja di situ secara sementara bagi mengelakkan peniaga terbeban dengan tunggakan bayaran lesen.
“Sistem pelesenan akan mengira yuran mereka secara automatik walaupun mereka tidak beroperasi jadi kami harus membatalkan lesen sekarang,” katanya.
Tambahnya, pembatalan lesen tidak akan mempengaruhi status penjaja dan semua 33 penjaja yang terjejas akan ditawarkan tempat di premis baharu kelak.